ATV jadi sasaran pencuri, pengusaha bimbang keselamatan aset

Hajizin menunjukkan lokasi penyimpanan ATV miliknya dan satu daripada enam kenderaan lasak itu dicuri pada Jumaat.
Hajizin menunjukkan lokasi penyimpanan ATV miliknya dan satu daripada enam kenderaan lasak itu dicuri pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kejadian kecurian sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di kawasan Pantai Sungai Karang di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha terhadap keselamatan aset mereka.

Pengusaha perkhidmatan sewaan ATV, Hajizin Muhamad, 59, berkata ini merupakan kejadian pertama sejak memulakan operasi pada 2021 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kecurian macam ini buat kami rasa susah hati, hendak tidur malam pun tidak lena fikirkan keselamatan perniagaan.

"Kami tidak boleh bawa semua ATV balik rumah sebab banyak, biasanya dua tiga biji sahaja yang dibawa pulang, selebihnya ditinggalkan di tapak berniaga," katanya ketika ditemui di Pantai Sungai Karang di sini pada Isnin.

Hajizin berkata, kawasan itu berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang tidak membenarkan binaan kekal.

Hajizin menunjukkan laporan polis dibuat susulan kehilangan sebuah ATV miliknya pada Jumaat.
Hajizin menunjukkan laporan polis dibuat susulan kehilangan sebuah ATV miliknya pada Jumaat.

“Jadi saya bercadang untuk memohon kebenaran PBT bagi membina pagar sementara setinggi empat kaki demi keselamatan,” ujarnya.

Sebelum itu, Hajizin memaklumkan satu daripada enam ATV miliknya yang disimpan di kawasan pantai terbabit telah dilarikan pencuri awal pagi Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi apabila individu yang melakukan kerja tersebut seolah-olah sudah biasa dengan kawasan berkenaan kerana cara mereka melakukannya sangat teratur.

“Daripada enam unit yang diletakkan di situ, satu daripadanya hilang, tetapi cara suspek buka pagar, longgarkan tali dan melipat kanvas sangat kemas.

“Saya syak lebih daripada seorang individu terlibat dan mereka sudah biasa dengan kawasan ini,” katanya.

Dia menyedari kehilangan aset itu sekitar jam 8 pagi, selepas mendapati kanvas sudah terbuka dan satu ATV tiada di tempat asal.

“Saya nampak kesan tayar jelas ditarik menuju ke arah gigi air di pantai itu dan dipercayai dibawa lari ke Batu Hitam.

"Ada juga saksi beritahu mereka nampak cahaya lampu sekitar jam 2 pagi," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Beserah kira-kira jam 11 pagi pada hari sama.

Shahrizal dan Zayd (kanan) turut terkesan dan bimbang selepas adanya kejadian kecurian di kawasan itu.
Shahrizal dan Zayd (kanan) turut terkesan dan bimbang selepas adanya kejadian kecurian di kawasan itu.

Sementara itu, pekerja di tapak sewaan ATV berkenaan, Zayd Zainuddin, 39, berkata kehilangan kenderaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha lain.

“Dulu pernah juga tayar ganti hilang, tetapi selepas itu tiada lagi kes kecurian sehinggalah sekarang.

“Walaupun kami ada pasang CCTV dan semua kenderaan dikunci rapi, tetap ada rasa risau bila kejadian macam ini berlaku,” katanya.

Zayd berkata, terdapat lima pengusaha ATV di kawasan itu yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan, dan majikannya antara yang terawal memulakan perniagaan tersebut di situ.

“ATV inilah sumber rezeki kami... kalau orang sudah lama perhati dan tahu selok-belok kawasan ini, mereka akan cari jalan juga,” ujarnya.

Rakannya, Shahrizal Hashim, 43, pula berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kami ada juga buat pemantauan waktu malam, tetapi bukan setiap hari. Harap pihak berkuasa boleh bantu buat rondaan lebih kerap,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!