ARF ke-32: Malaysia pacu keamanan serantau

FORUM Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF) telah menjadi satu daripada tonggak utama diplomasi keselamatan dan politik serantau sejak lebih tiga dekad lalu.
Ia bukan sahaja berfungsi sebagai platform dialog, tetapi juga sebagai medan penting dalam membina keyakinan serta mengekalkan kestabilan di rantau Asia Tenggara dan Indo-Pasifik.
Jumaat lalu, Kuala Lumpur menjadi saksi kepada pelaksanaan Mesyuarat Forum Serantau ASEAN ke-32 yang menghimpunkan 26 buah negara termasuk kesemua sepuluh negara anggota ASEAN serta 10 rakan dialog ASEAN, iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun, Rusia, Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Kanada, India dan Korea Selatan.
Turut menyertainya ialah negara-negara lain yang berkepentingan dalam kestabilan rantau ini, iaitu Bangladesh, Mongolia, Pakistan, Papua New Guinea, Sri Lanka dan Timor-Leste.
Sebagai mesyuarat penutup kepada keseluruhan rangkaian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, ARF ke-32 telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menegaskan bahawa forum ini tidak boleh bersikap pasif dalam mendepani landskap geopolitik semasa yang penuh dengan ketidakpastian dan pertembungan kuasa besar.
Ucapan pembukaan beliau juga menekankan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi beriltizam untuk memperkukuh ARF sebagai institusi yang tangkas, relevan dan inklusif.
Malaysia melihat ARF bukan sekadar alat perundingan, tetapi sebagai struktur keselamatan kolektif serantau yang memerlukan reformasi ke arah keberkesanan pelaksanaan, khususnya dalam bidang keselamatan maritim, antikeganasan, keselamatan siber dan bantuan bencana.
Kenyataan Pengerusi ARF ke-32 kemudiannya merangkumkan segala hasil perbincangan dan hala tuju masa depan ARF.
Para peserta forum menyatakan penghargaan terhadap sumbangan ARF selama lebih tiga dekad dalam mempromosikan keamanan.
Ekoran pelaksanaan Rancangan Tindakan Hanoi II (2020–2025) akan tamat menjelang akhir tahun 2025, peserta forum bersetuju untuk membentuk pelan tindakan baharu yang bersifat lebih konkrit dan berpaksikan hasil yang boleh diukur.
Ini penting agar ARF terus kekal sebagai wadah efektif dalam mengemudi cabaran semasa dan mendatang.
Dalam sesi utama, pelbagai isu serantau dan antarabangsa dibincangkan secara terbuka dan jujur.
Bagi krisis Myanmar, forum menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan serta mendesak pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN. Penghargaan turut diberikan kepada Tan Sri Othman Hashim sebagai Utusan Khas ASEAN dari Malaysia yang telah menjalankan usaha rundingan secara menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar.
Bagi isu Laut China Selatan, peserta forum menggesa agar semua pihak terlibat mengelakkan sebarang tindakan provokatif, mengekalkan kebebasan pelayaran dan menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS).
Mereka turut mengalu-alukan kemajuan rundingan Kod Tatalaku (COC) yang substantif.
Perbincangan turut tertumpu kepada krisis Semenanjung Korea yang semakin meruncing, terutamanya berikutan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.
Forum menegaskan keperluan segera untuk menyambung semula dialog damai serta menyeru agar semua resolusi Majlis Keselamatan PBB dipatuhi sepenuhnya.
Bagi isu Gaza dan Palestin, forum menyuarakan rasa sedih terhadap kemelut kemanusiaan yang semakin parah akibat konflik yang berlarutan.
Seruan dibuat kepada semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menerima cadangan gencatan senjata serta membebaskan semua tebusan tanpa syarat.
Forum juga mempertegaskan semula sokongan terhadap hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mencapai penyelesaian dua negara seperti termaktub dalam resolusi-resolusi PBB.
Selain isu-isu politik, ARF ke-32 turut memberi tumpuan serius kepada ancaman keselamatan bukan tradisional yang semakin mencabar dan kompleks.
Forum menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Rancangan Tindakan ARF mengenai Keganasan dan Jenayah Rentas Sempadan bagi tempoh 2023–2025, termasuk usaha memerangi penipuan dalam talian, pemerdagangan orang, dan pengedaran dadah.
Keselamatan siber turut dibincangkan secara mendalam, dengan tumpuan kepada pembinaan kepercayaan, pertukaran maklumat, dan pemahaman bersama dalam persekitaran ICT yang semakin mencabar.
Forum juga menyentuh isu pencemaran laut, penangkapan ikan secara haram serta keperluan mengukuhkan pengurusan bencana dan respons kemanusiaan.
Pendekatan holistik yang disarankan merangkumi usaha pembinaan kapasiti, amalan terbaik serta sinergi antara pelbagai mekanisme ASEAN seperti AMMTC, ADMM-Plus dan Forum Maritim ASEAN.
Selain itu, isu pelucutan senjata dan pencegahan proliferasi senjata pemusnah besar-besaran turut dibincangkan. Forum menyeru kuasa-kuasa nuklear agar mematuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) dan memperkukuh Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Di peringkat struktur pentadbiran ARF, forum turut meluluskan senarai aktiviti ARF untuk sesi 2025–2026 dan menyatakan sokongan terhadap pembangunan pelan tindakan baharu yang selari dengan Visi Komuniti ASEAN 2045.
Sesungguhnya Malaysia sebagai tuan rumah dan pengerusi telah memainkan peranan yang amat besar dan penting dalam menjayakan forum ini.
Di bawah kepimpinan Mohamad Hasan, Malaysia telah memperlihatkan ketegasan prinsip, kebijaksanaan diplomasi dan kebolehan teknikal dalam merangka masa depan ARF yang lebih efektif, inklusif dan tangkas.
Peranan Malaysia bukan sahaja menonjol dalam aspek penganjuran dan pemudahcara, tetapi juga sebagai pemacu hala tuju strategik forum ini.
Secara keseluruhannya, kejayaan ARF ke-32 di Kuala Lumpur membuktikan bahawa Malaysia mampu mengemudi kepimpinan serantau dengan berkesan.
Forum ini amat penting kepada rantau dan dunia kerana ia menyediakan ruang diplomasi pelbagai hala bagi membincangkan isu-isu kritikal secara damai.
Selain itu, forum ini bukan hanya meneguhkan ASEAN Centrality, malah mengangkat suara ASEAN dalam pentas dunia, bahawa ASEAN bersatu dalam menghadapi cabaran dan komited terhadap keamanan sejagat.
*Prof Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
