KL Tigers pertahan kejuaraan, Cobra tunduk lagi

KL Tigers meraikan kejayaan menjuarai Liga Ragbi MSNS–KRS selepas menjinakkan Cobra dalam perlawanan akhir di Padang Astaka, Petaling Jaya. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
KL Tigers meraikan kejayaan menjuarai Liga Ragbi MSNS–KRS selepas menjinakkan Cobra dalam perlawanan akhir di Padang Astaka, Petaling Jaya. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

PENYANDANG juara, KL Tigers RFC terus membuktikan dominasi dalam saingan Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)–Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) apabila mengekalkan kejuaraan bagi dua tahun berturut-turut.

Pada edisi 2025, skuad bimbingan Zane Gardiner itu sekali lagi tampil garang apabila menewaskan seteru utama, Cobra kendalian Wan Norsyahmi Wan Daud, 23-15 dalam aksi final Kategori Cup yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya pada Ahad.

Lebih manis, kejayaan itu merupakan ulangan skrip final musim lalu apabila KL Tigers turut menundukkan Cobra di pentas yang sama.

Sebelum ini, KL Tigers mengungguli pusingan pertama liga selepas mencatat kemenangan bersih dalam semua perlawanan sekali gus mengumpul 15 mata penuh untuk berada di tangga teratas.

UiTM Lions menamatkan saingan di tempat kedua dengan 12 mata diikuti Cobra (9 mata) dan RMAF Blackhawk (6 mata).

Susulan kejayaan itu, KL Tigers membawa pulang trofi kejuaraan, pingat serta Piala Pusingan Liga, manakala Cobra berpuas hati selaku naib juara dengan pingat dan trofi.

Liga anjuran bersama MSNS dan KRS bagi edisi kali ini mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Divisyen Satu Lelaki, Divisyen Dua Lelaki dan Divisyen Wanita.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga, UiTM Lions mencatat kemenangan tipis 30-27 ke atas RMAF Blackhawk.

Bagi Kategori Plate pula, RSC K9s muncul juara selepas menewaskan ARC Knight dengan keputusan 36-30.

Artikel Berkaitan:

Kategori Bowl dimenangi pasukan SMS Old Boys yang mengatasi Rhinoz Warriors 32-22.

Dalam saingan Divisyen Wanita, Cobra Venom membuktikan keampuhan mereka apabila mengalahkan ATM 26-12 untuk muncul juara dan sekali gus merangkul Piala Pusingan Exco Pembangunan Wanita dan Pembangunan Masyarakat Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!