Liga Ragbi MSNS-KRS 2025 lonjakan ragbi Selangor

PENGANJURAN Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) - Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) 2025 yang melabuhkan tirainya pada Ahad disifatkan sebagai satu kejayaan besar buat pembangunan sukan ragbi di Selangor apabila liga edisi kali ini mencatat sejarah tersendiri dengan pengenalan kategori wanita buat julung kalinya.
Presiden KRS, Lim Yi Wei berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja berlangsung lancar malah berjaya mencapai objektif sebagai platform pemilihan utama untuk membentuk skuad negeri ke Kejuaraan Piala Agong yang akan bermula pada 6 September hingga 26 Oktober depan.
“Liga MSNS-KRS tahun ini menjadi titik tolak baharu bagi pembangunan ragbi Selangor, terutama dengan penyertaan kategori wanita buat kali pertama. Ia menunjukkan komitmen kami untuk memartabatkan ragbi sebagai sukan yang inklusif dan progresif.
“Daripada kejohanan ini, kami akan menyenarai pendek pemain untuk menyertai skuad negeri ke Piala Agong.
“Tahun lalu, Selangor berjaya ke separuh akhir selepas penantian 18 tahun. Tahun ini, kami sasarkan untuk ke peringkat akhir,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan akhir KL Tigers RFC menentang Cobra di Padang Astaka Petaling Jaya pada Ahad.
Sebelum itu, KL Tigers bimbingan Zane Gardiner itu sekali lagi tampil garang apabila menewaskan seteru utama, Cobra kendalian Wan Norsyahmi Wan Daud, 23-15 dalam aksi final Kategori Cup.
Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga, UiTM Lions mencatat kemenangan tipis 30-27 ke atas RMAF Blackhawk.
Liga anjuran MSNS dan KRS edisi 2025 itu mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori Lelaki Divisyen Satu, Kategori Lelaki Divisyen Dua Lelaki dan Kategori Wanita.
Tambah Yi Wei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Selangor turut akan menghantar empat pasukan ke Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan (7s Kebangsaan) termasuk skuad wanita yang muncul juara tahun lalu di Terengganu hujung Julai ini.
“Kami berharap dapat mempertahankan kejuaraan dalam kategori wanita dan memperbaiki prestasi semua pasukan.
“Proses pemilihan pemain sedang dijalankan dengan bimbingan jurulatih berpengalaman, iaitu bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Singapura, Suhaimi Amran.
“Beliau akan meneliti prestasi pemain untuk memperkukuh skuad Selangor. Ini termasuk menggabungkan pengalaman lama dan bakat baharu,” katanya.
Dalam masa sama, Yi Wei turut menyeru agar sektor swasta tampil membantu memperkukuh ekosistem ragbi di negeri itu.
“Ragbi merupakan sukan yang bukan sahaja melatih fizikal, tetapi membentuk nilai disiplin, hormat, dan kerja berpasukan yang tinggi.
"Potensinya besar, cuma ia perlu lebih diketengahkan menerusi penglibatan swasta dan inisiatif ‘fan activation’ untuk mendekatkan komuniti dengan pasukan negeri.
“Sebagai pemegang taruh, kami sentiasa terbuka kepada perubahan serta strategi baharu dalam memilih pemain dan meningkatkan prestasi pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
