Pemuda UMNO gesa Titah Adendum berkaitan Najib dilaksanakan segera

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO menggesa agar Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan atau dolak-dalik.
Menurut sayap parti itu, ia susulan pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kewujudan dokumen tersebut.
Malah menurutnya, pengakuan yang dibuat dalam prosiding Mahkamah Persekutuan itu sekali gus membuktikan bahawa titah berkenaan benar-benar wujud, terutama selepas pelbagai polemik dan penafian sebelum ini.
"Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, keengganan untuk melaksanakan titah tersebut adalah satu gambaran kepada penderhakaan serta penghinaan terhadap institusi Raja yang menjadi tonggak Perlembagaan negara," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Pada 9 Julai lalu dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan, AGC tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang didakwa sebagai titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC hanya membangkitkan isu berkaitan prosedur pengemukaan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman bekas Presiden UMNO itu di Mahkamah Tinggi.
Susulan itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan cadangan agar Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah dan wajar ditolak secara tegas.
Menurutnya, permintaan sedemikian mencabar prinsip keadilan dan menimbulkan persepsi wujudnya layanan istimewa terhadap tokoh politik yang berpengaruh.
Pemuda UMNO dalam hantaran sama turut mengecam kenyataan Lip Eng dengan menyatakan pertikaian tersebut seolah-olah menggambarkan Ahli Parlimen DAP itu meletakkan dirinya lebih tinggi daripada institusi Raja dan Perlembagaan negara.
"YB (Yang Berhormat) Lim perlu faham bahawa gesaan ini bukan sekadar cadangan daripada UMNO semata-mata, sebaliknya ia berpaksikan kepada Titah Adendum yang telah diperakui sendiri Jabatan Peguam Negara di Mahkamah Persekutuan.
"Ia dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan negara, bukan atas kehendak politik atau sewenang-wenangnya.
"Dengan menyanggah titah ini, adakah YB Lim Lip Eng meletakkan dirinya lebih tinggi daripada institusi Raja dan Perlembagaan negara?," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
