‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Tambun catat kehadiran luar biasa jemaah

Seorang jemaah tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama Ustaz Don Daniyal dalam program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Tambun sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani2025 pada Ahad.
Seorang jemaah tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama Ustaz Don Daniyal dalam program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Tambun sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani2025 pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Suasana pagi di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Tambun pada Ahad diimarahkan dengan kehadiran lebih 1,500 jemaah menyertai program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’.

Program tersebut menjadi pembuka tirai sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani 2025 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kehadiran luar biasa jemaah pada awal pagi itu juga menjadi manifestasi sokongan masyarakat bagi menyemarakkan budaya spiritual dalam kalangan komuniti setempat di kawasan Parlimen Tambun yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan Pejabat Parlimen Tambun, program berkenaan sebagai platform mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang menerusi pengisian santai berteraskan nilai Madani.

“Kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha membudayakan solat Subuh secara berjemaah dengan pendekatan yang inklusif dan menarik," kata kenyataan itu.

Program turut disertai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid serta selebriti tanah air seperti Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak, dan Qawiyaro yang turut bertindak selaku imam solat Subuh.

Antara acara sampingan yang diadakan termasuk Tambun Fun Run sejauh lima kilometer, kenduri rakyat, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran, serta persembahan nasyid oleh kumpulan ternama seperti UNIC, Raihan dan Mirwana.

Turut berlangsung sepanjang Ahad ialah konvoi motosikal belia, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan percuma serta perkhidmatan percuma melibatkan gunting rambut, penukaran minyak hitam.

Acara pada sebelah malam pula dihangatkan dengan Malam Mahabbah Madani melibatkan pertandingan nasyid antara sekolah, serta Forum Hijrah menampilkan pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa yang dikendalikan oleh Ustaz Hariri Daud selaku moderator.

Artikel Berkaitan:

Karnival bertemakan Hijrah Membina Ummah Madani itu mengangkat aspirasi Malaysia Madani dengan semangat keterangkuman dan keharmonian yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama membina sebuah komuniti yang sejahtera dan bersatu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!