Sindiket Zakeer, Shaheed tumpas dalam serbuan imigresen

KUALA LUMPUR – Dua sindiket warga asing yang menawarkan perkhidmatan berkaitan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tumpas dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu negara pada Khamis.
Sindiket dikenali sebagai Zakeer dan Shaheed itu dipercayai telah beroperasi lebih setahun, menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan keuntungan mudah.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.05 tengah hari di sebuah premis pejabat di Jalan Pudu, tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun telah ditahan.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dengan sindiket Zakeer yang diketuai oleh seorang lelaki bertindak sebagai dalang utama bersama dua individu lain yang berperanan sebagai orang tengah.
“Mereka didapati memiliki PLKS sah di bawah sektor pembinaan, namun menjalankan aktiviti menawarkan perkhidmatan pembaharuan PLKS kepada warga asing lain dengan kadar bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, hasil serbuan turut membawa kepada penyitaan 130 pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia serta tiga unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan sindiket berkenaan.
Zakaria berkata, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lagi lelaki warga Bangladesh diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Katanya, serbuan kedua dilakukan pada hari yang sama sekitar jam 7.09 malam di kawasan Ampang Baru dan membawa kepada penahanan tiga individu yang dipercayai ahli sindiket Shaheed.
“Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 33 hingga 43 tahun.
“Seorang suspek memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang lagi telah tinggal melebihi tempoh manakala suspek Myanmar memiliki kad UNHCR,” katanya.

Tambah beliau, pasukan operasi turut menyita satu pasport masing-masing milik warga Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka, selain 24 keping pelekat Malaysia Pass (Malpass) yang disyaki palsu serta lima unit telefon bimbit.
“Modus operandi sindiket Shaheed adalah menawarkan perkhidmatan pengurusan PLKS kepada warga asing di sekitar Lembah Klang dengan bayaran antara RM80 hingga RM500 bagi setiap perkhidmatan,” katanya.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“Jabatan Imigresen Malaysia komited memperkukuh penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang melibatkan warga asing.
“Tindakan ini selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan keselamatan, kemakmuran dan keharmonian sosial,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

