Durian RM5 sebiji habis dalam 15 minit

KUALA TERENGGANU – Jualan durian murah pada harga RM5 sebiji di pusat bandar di sini mencetuskan fenomena luar biasa apabila habis dijual dalam tempoh hanya 15 minit.
Promosi oleh Lubuk Durian Ali Spices itu mendapat sambutan hangat apabila ratusan pelanggan sanggup beratur awal bagi merebut peluang menikmati raja buah tersebut pada harga mampu milik.
Pengusahanya, Shahril Mohd Azhar, 36, berkata, jualan durian pada harga rendah itu diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, untuk menikmati buah tersebut.
Menurutnya, inisiatif itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.
“Kami hanya jual 300 kilogram sehari pada harga RM5 sebiji. Tak sangka sambutan sangat luar biasa. Dalam 10 ke 15 minit, semua durian habis dijual.

“Ramai pelanggan datang seawal jam 4.30 petang sedangkan kami hanya mula jualan sekitar jam 5.00 petang,” katanya ketika ditemui di gerai jualan di Jalan Sultan Sulaiman di sini pada Khamis.
Jelasnya, durian yang ditawarkan merupakan campuran pelbagai gred seperti Baby Musang King, IOI, Udang Merah dan durian kampung.
“Setiap biji diberikan secara rawak bergantung kepada bekalan harian. Tapi kami pastikan semuanya berkualiti dan segar. Murah bukan bermakna tiada kualiti,” ujarnya lagi.
Promosi berkenaan merupakan hasil kerjasamanya bersama rakan niaga, Muhd Aminuddin Mohd Adnan, 22.
“Jualan ini memberi kepuasan tersendiri apabila dapat membantu lebih ramai menikmati durian tanpa membebankan perbelanjaan keluarga,” tambahnya.
Katanya, promosi durian RM5 sebiji itu akan diteruskan selagi stok mencukupi, bergantung kepada musim dan keadaan cuaca.
Selain promosi tersebut, beliau berkata, Lubuk Durian Ali Spices yang mula dibuka seawal jam 11 pagi turut menawarkan pelbagai gred durian pada harga pasaran bagi pelanggan yang menginginkan pilihan durian premium.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Ghani Hassan, 37, sanggup beratur hampir 20 minit semata-mata untuk mendapatkan durian murah buat keluarganya.
“Saya beli 20 biji sebab anak ramai. Kalau beli harga biasa memang tak mampu. Syukurlah, duriannya pun sedap. Saya harap mereka teruskan promosi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
