4,105 bekas banduan dapat kerja melalui inisiatif PERKESO

NIBONG TEBAL - Seramai 4,105 individu yang selesai menjalani hukuman dan berjaya dipulihkan sejak 2020 hingga kini memulakan lembaran baharu dalam hidup dengan kembali ke alam pekerjaan, hasil inisiatif padanan kerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, lima sektor utama yang merekodkan kadar pengambilan tertinggi bagi menyokong integrasi semula dalam masyarakat ialah sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan makanan serta perdagangan borong dan runcit.
Menurutnya, usaha memperkasa golongan rentan termasuk prospek atau bekas banduan melalui penyediaan peluang pekerjaan turut selari matlamat ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga pekerja asing.
"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, jumlah guna tenaga di Malaysia menjangkau 16.78 juta orang, dengan lebih 2.3 juta atau 13.7 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja asing.
"Ini sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan secara lebih inklusif dan menyeluruh termasuk dengan menghargai potensi prospek sebagai penyumbang produktiviti kepada masyarakat serta ekonomi.
"Justeru, usaha memperkukuh pemulihan sosial dan mengurangkan kadar jenayah berulang di Malaysia berupaya dilakar melalui dasar rangsangan pasaran buruh aktif serta penganjuran karnival kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir berucap pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini pada Khamis.
Hadir sama, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Steven Sim turut berkongsi kejayaan pelaksanaan Daya Kerjaya sejak diperkenalkan pada 2020 yang menyaksikan 549 majikan memberi penempatan kerja kepada 2,604 prospek, dengan penyaluran dana insentif melebihi RM12 juta.
Katanya, dasar rangsangan pasaran buruh aktif yang menyediakan insentif RM600 sebulan selama tiga bulan kepada majikan yang menawarkan pekerjaan kepada prospek turut dilihat sebagai menghargai bakat tempatan, selain menyokong usaha integrasi semula dalam masyarakat.
Beliau juga menyambut baik komitmen dinyatakan Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) dan Federation of Malaysian Business Associations (FMBA) yang berikrar akan menyediakan sebanyak 4,500 peluang pekerjaan buat prospek pada tahun ini.
Dalam pada itu, Steven Sim menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia yang bekerjasama menganjurkan 263 karnival kerjaya sejak 2023 hingga Mei 2025, dalam usaha menyediakan lembaran hidup baharu buat prospek.
"Karnival pada tahun ini melibatkan penyertaan 20 majikan dengan 37 jenis jawatan ditawarkan, membabitkan lebih 1,000 kekosongan.
"Saya difahamkan 600 prospek akan menyertai program ini untuk mengorak langkah ke arah kehidupan lebih baik selepas kembali ke pangkuan masyarakat nanti.
"Melalui kerjasama holistik, kita boleh mewujudkan laluan untuk individu-individu ini meningkatkan kemahiran, membina keyakinan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

