Cabaran besar menanti Bunga Raya 7s wanita di Sukan SEA

Pemain skuad Bunga Raya 7s wanita bersama kepimpinan KRM dan HLYM selepas majlis penajaan di Genblu Cafe, ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh. Foto KRM
Pemain skuad Bunga Raya 7s wanita bersama kepimpinan KRM dan HLYM selepas majlis penajaan di Genblu Cafe, ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh. Foto KRM
A
A
A

PASUKAN ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara berdepan cabaran getir menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand dengan kekangan masa, kecergasan serta keserasian pemain masih menjadi isu utama dalam kem latihan ketika ini.

Pengendali skuad Bunga Raya 7s, Mohammad Faiz Samsukhidir berkata, lima bulan terakhir menjelang kejohanan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemas corak permainan dan meningkatkan kecergasan atlet terutama dalam menyatukan pemain baharu dan lama.

Berdasarkan senario semasa, Faiz yang menyenaraikan Thailand, Singapura dan Filipina sebagai pencabar utama kejuaraan mengakui persiapan negara agak singkat, namun yakin pasukannya mampu melakar kejutan.

“Berdasarkan analisis terhadap pasukan lawan, saya optimis Malaysia mampu memberikan saingan khususnya kepada Singapura dan Filipina, namun tidak menolak kemungkinan kehadiran pemain naturalisasi yang mampu mengubah situasi pada saat akhir.

“Singapura tidak ada pemain import dan sudah dua tahun mereka berlatih tanpa henti. Kita pula baru nak mula. Filipina pula, kalau mereka bawa masuk pemain naturalisasi seperti dulu, itu akan beri kesan besar.

“Saya jangka mungkin enam pemain import akan dibawa masuk, walaupun ada sumber kata mereka (Filipina) tiada bajet. Tapi untuk Sukan SEA, macam-macam boleh berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penajaan Rasmi Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di Genblu Café, ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh.

Ketika ditanya mengenai peluang meraih pingat, Faiz berkata ia bergantung kepada sejauh mana pasukannya mampu memperbaiki kekurangan dalam tempoh berbaki ini.

“Memang sukar, tapi kami pernah raih gangsa dua edisi Sukan SEA sebelum ini. Kalau boleh, saya nak capai sesuatu yang lebih tinggi, bawa pasukan wanita ke satu tahap baharu. Saya percaya pemain saya mampu buat sesuatu yang ‘magik’ nanti, insya-ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz menyifatkan penajaan berjumlah RM200,000 daripada HLYM sebagai suntikan semangat besar buat skuad wanita apabila ia membolehkan program latihan disusun dengan lebih sistematik, termasuk menyertai Siri Asia Ragbi 7s di China dan Sri Lanka sebagai medan pemilihan 18 pemain terbaik ke Bangkok.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini kita memang terhad dari segi bajet tapi dengan sokongan penaja, kami dapat maksimumkan persiapan.

“Kami juga sedang mencari peluang beraksi di luar negara dan Jepun antara lokasi sasaran kerana corak permainan di sana mampu tingkatkan prestasi pemain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!