Tarif: PM sahkan jumpa Setiausaha Negara AS esok

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu kadar tarif import baharu yang dikenakan ke atas produk Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan itu penting untuk membolehkan Malaysia mengemukakan hujah serta alasan yang munasabah bagi mempertahankan kepentingan negara.
“Saya akan berjumpa dengannya (Marco Rubio) esok (Khamis). Tentunya, hubungan dengan AS perlu dikekalkan tetapi kita juga akan pertahankan pendirian kita.
“Malaysia adalah sebuah negara dagang. Oleh itu, kita minta supaya perkara ini dipertimbangkan. Kita akan kemukakan alasan dan hujah, dan beliau beri masa sehingga Ogos untuk dimuktamadkan. Jadi saya akan sampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi Jabatan Negara AS, Marco Rubio akan berada di Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Julai, dan dijadual menghadiri Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) yang akan bermula Khamis ini.
Forum Serantau ASEAN (ARF) merupakan sebahagian daripada program AMM yang menghimpunkan ASEAN, rakan dialog dan pemain utama lain termasuk AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Australia.
Sebelum ini, AS dilaporkan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu bermula 1 Ogos, satu peratus lebih tinggi berbanding kadar yang diumumkan pada April lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Selasa memaklumkan bahawa Kabinet dijangka membincangkan isu berkenaan pada Rabu.
Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia masih mempunyai ruang untuk berunding dengan AS sehingga tarikh kuat kuasa rasmi iaitu 1 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

