Prosedur pembedahan ACL Tze Yong berjalan lancar

Tze Yong sempat beraksi dalam empat kejohanan sejak April lalu selepas kembali daripada pembedahan tulang belakang pada 2023, namun kecederaan ACL memaksa beliau direhatkan semula.
Tze Yong sempat beraksi dalam empat kejohanan sejak April lalu selepas kembali daripada pembedahan tulang belakang pada 2023, namun kecederaan ACL memaksa beliau direhatkan semula.
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong selamat menjalani pembedahan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) di Pusat Perubatan Aspetar di Doha, Qatar pada Isnin.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mengesahkan keadaan pemain berusia 25 tahun itu dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur tersebut.

“Setakat ini apa yang kami terima, semua dalam keadaan baik. Pembedahan pun selamat dijalankan.

"Saya dimaklumkan bahawa pembedahan itu berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

BAM sebelum ini memaklumkan Pusat Perubatan Aspetar dicadangkan oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Malah, ia turut dipersetujui oleh Tze Yong susulan kepakaran pusat perubatan sukan berkenaan yang pernah merawat bintang bola sepak Eropah ternama seperti Erling Haaland dan Neymar.

Tze Yong sebelum ini sempat beraksi dalam empat kejohanan sejak April lalu selepas kembali daripada pembedahan tulang belakang pada 2023.

Namun malangnya, kecederaan ACL memaksa beliau direhatkan semula, sekali gus menjejaskan peluang untuk bangkit selepas diketepikan lebih setahun.

Dalam pada itu, Kenny menjelaskan bahawa fokus selepas ini beralih kepada fasa pemulihan yang dijangka mengambil masa empat minggu di pusat perubatan sukan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap pemain kelahiran Johor itu dapat mengikuti program berkenaan dengan baik bagi mempercepatkan tempoh pemulihannya.

“Tze Yong akan menjalani pemulihan di Doha dan kembali ke Malaysia selepas empat minggu. Kami berharap dia boleh mengikuti program (pemulihan) sebab itu merupakan perkara yang penting setakat ini," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!