Tragedi Sungai Korok: Pentingnya komunikasi elak kejadian tidak diingini

NEGARA telah dikejutkan dengan tragedi yang menimpa sebuah keluarga di Jitra pada Isnin di mana enam sekeluarga ditemukan maut dalam insiden melibatkan sebuah kereta yang terhumban ke dalam Sungai Korok.
Mangsa ialah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izat, 9, Hawa Adriana, 8, Nayla Huma'ira, 7, dan Tuah Haidar, 6 bulan.
Adik kepada Mohamad Azim Izat, Nor Syafiqah Ishak, 28, berkata, pengecaman awal terhadap kesemua mangsa telah dibuat di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Rahim pada Isnin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kereta yang dinaiki enam sekeluarga itu terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain.
Ujar beliau, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kesan brek atau serpihan kemalangan di kawasan rumput berhampiran sungai.
Meskipun kejadian berkenaan masih dalam siasatan, namun kesan emosi terhadap keluarga mangsa dan komuniti pasti mendalam.
Kejadian tersebut memberikan pengajaran penting kepada masyarakat umum terutama berkaitan kepentingan komunikasi dalam keluarga.
Beberapa amalan mudah boleh diterapkan bagi meningkatkan keselamatan diri dan orang tersayang termasuk sentiasa memaklumkan destinasi atau pergerakan semasa kepada ahli keluarga lain.
Selain itu, manfaatkan teknologi yang ada. Dengan kemudahan aplikasi telefon pintar masa kini, berkongsi lokasi sementara atau mengaktifkan fungsi perkongsian lokasi boleh menjadi penyelamat.
Penting juga bagi ahli keluarga untuk sentiasa peka jika ada ahli keluarga yang tidak dapat dihubungi atau gagal pulang mengikut jangkaan.
Jangan ambil mudah kerana tindakan segera seperti menghubungi atau cuba mengesan boleh mengurangkan risiko yang lebih besar.
Tragedi tersebut merupakan peringatan bahawa keselamatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab bersama.
Dengan amalan komunikasi yang berkesan dan berterusan, masyarakat boleh mengurangkan risiko berlakunya situasi tidak diingini.
Setidak-tidaknya ia mempermudahkan proses pencarian serta bantuan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

