'Joget, nyanyi, sambil pandu lori, siaran langsung FB bertukar tragedi'

SULAWESI TENGAH – Seorang pemandu lori wanita nyaris maut apabila kenderaan berat seberat 20 tan yang dipandunya terbabas dan terbalik ke dalam parit sewaktu sedang melakukan siaran langsung di Facebook sambil berjoget dan menyanyi.
Insiden itu berlaku pada Selasa, 2 Julai 2025, di laluan berbahaya dan curam di kawasan pergunungan Santigi, Sulawesi Tengah.
Mangsa dikenali sebagai Sithik Tarjikan, seorang ibu yang juga pemandu lori rentas negeri, ketika itu sedang memandu lori sambil berinteraksi dengan lebih 1,000 penonton secara langsung menerusi akaun Facebook miliknya.
Dalam rakaman berdurasi beberapa minit yang kini tular di media sosial, Sithik kelihatan ceria sambil menyanyi dan menari di tempat duduk pemandu. Dia turut sempat memberi nasihat keselamatan kepada penontonnya agar sentiasa berhati-hati di jalan raya walaupun memiliki kemahiran memandu.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, lori yang dipandunya dilaporkan mengalami masalah brek ketika menuruni cerun curam.
Rakaman menunjukkan lori berkenaan mula hilang kawalan, sebelum akhirnya tergelincir keluar dari laluan dan terbalik ke dalam parit di tepi jalan.
Beberapa penduduk yang berada berhampiran lokasi kejadian segera memberi bantuan. Sithik berjaya dikeluarkan dari tempat duduk pemandu dalam keadaan sedar, namun mengalami kejutan emosi yang teruk akibat insiden tersebut.
Kemalangan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menegur tindakan menggunakan media sosial ketika memandu, apatah lagi ketika mengendalikan kenderaan berat di laluan berisiko tinggi.
Walaupun Sithik terselamat tanpa kecederaan serius, ramai menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain dan menggesa agar pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan insiden tersebut.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

