Siapa selepas Tommy dan Latheefa?

Latheefa Koya dan Tommy Thomas
Latheefa Koya dan Tommy Thomas
A
A
A

TOMMY Thomas dan Latheefa Koya, dua nama besar yang menjadi fokus lensa media minggu lalu.

Kedua-duanya mempunyai rekod tersendiri dalam catatan sejarah Malaysia. Tommy yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 merupakan individu bukan Melayu dan bukan Islam pertama yang memegang jawatan Peguam Negara selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Bagaimanapun, beberapa Peguam Negara sebelum itu merupakan pegawai Inggeris yang juga bukan beragama Islam.

Pelantikan Latheefa pada 1 Jun 2019 sebagai orang nombor satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pula satu kejayaan hebat buat kaum wanita. Beliau menjadi wanita pertama diantik kejawatan berkenaan, malah diberi gelaran Iron Lady di atas ketegasan beliau mengendalikan kes-kes besar melibatkan kenamaan dan tokoh politik tanah air.

Bagaimanapun, tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan susulan kemelut politik baru-baru ini bukan sahaja menyaksikan pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan. Negara turut dikejutkan dengan pelbagai berita panas antaranya peletakan jawatan beberapa nama besar yang mengetuai agensi tertentu yang dikatakan atas lantikan politik.

Mengimbas kembali, kedua-dua nama ini pernah berdepan dengan beberapa kontroversi yang menjadi bualan hangat ramai rakyat Malaysia. Pelantikan Tommy sendiri pada awalnya menerima bantahan khususnya pemimpin pembangkang, apatah lagi beliau dikaitkan sebagai peguam Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bulan lalu, satu petisyen atas talian turut dilancarkan bagi mendesak Tommy dipecat serta-merta susulan keputusan beliau tidak meneruskan pendakwaan ke atas 12 individu yang didakwa menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam. Petisyen itu mendapat hampir 18,000 sokongan.

Latheefa turut menerima tempias kontroversi berikutan tindakan agensi beliau mendedahkan rakaman audio berdurasi 45 minit melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International Sdn Bhd dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Pendedahan SPRM itu mengundang kebimbangan mengenai kerahsiaan seseorang individu.

Berbalik kepada senario semasa, seiring dengan peralihan kuasa kerajaan pelbagai perubahan pasti akan berlaku, namun sebelum melangkah lebih jauh, timbul persoalan adakah senario peletakan jawatan figura-figura terkenal itu memberi impak terhadap kredibiliti agensi terbabit dan seterusnya terhadap negara itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Abdul Rani Kamarudin berkata, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, kedua-duanya dilantik atas nasihat Perdana Menteri.

Berbeza dengan Peguam Negara yang tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Ketua Pesuruhjaya SPRM memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.

"Oleh kerana kedua-duanya meletakkan jawatan, maka tiada isu berbangkit mereka diberhentikan atau berbangkit dengan apa-apa salah laku yang sedang disiasat terhadap mereka dalam menjalankan tugasan masing-masing.

"Tugas Peguam Negara untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan (Jemaah Menteri) serta mana-mana Menteri dalam apa-apa perkara undang-undang dan pelaksanaan yang berkaitan dengan undang-undang.

"Kerana Peguam Negara dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat daripada PM, bertukarnya PM dan Jemaah Menteri secara tersiratnya akan juga membawa kepada pertukaran Peguam Negara," kata Abdul Rani kepada Sinar Harian.

Abdul Rani menambah, walaupun Peguam Negara tidak boleh dipecat seperti mana Hakim Mahkamah, adalah baik untuk meletakkan jawatan kerana Perdana Menteri yang baharu, pasti mahukan seorang Peguam Negara yang boleh berkerjasama dengan pentadbiran kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri tersebut.

"Sesiapa pun dilantik baik untuk jawatan Peguam Negara mahu pun Ketua Pesuruhjaya SPRM hendaklah menjalankan tugasnya atas landasan undang-undang. Bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau tertakluk juga kepada Lembaga Penasihat Anti Rasuah di bawah Akta yang sama yang mengawal selia dan mengesyorkan amalan-amalan baik (best practices) kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam menjalankan tugasnya," katanya.

Dalam kes ini, Muhyiddin tidak mengambil masa yang lama untuk mencari pengganti Tommy, apabila mengumumkan hakim Mahkamah Persekutuan, Idrus Harun mengisi jawatan Peguam Negara.

Kerusi panas Latheefa juga tidak kosong lama, apabila selepas tiga hari mengumumkan peletakan jawatan, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 9 Mac lalu.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang, Kulliyyah Undang-Undang UIAM, Profesor Madya Khairil Azmin Mokhtar berkata, peletakan jawatan adalah hak individu terbabit. Menurut Khairil, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan.

“Oleh itu pengunduran yang dibuat oleh Peguam Negara dan juga Ketua Pengarah SPRM tidak bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan. Tiada isu dalam hal ini dari aspek perundangan.

“Cuma yang timbul ialah desas-desus mengenai sebab peletakan jawatan. Dalam hal ini pelbagai spekulasi boleh dibuat, namun jalan yang selamat adalah menerima peletakan jawatan tersebut dengan hati yang terbuka," katanya.

Turut berkongsi pandangan, Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, peletakan jawatan melibatkan nama-nama pegawai kanan besar itu adalah satu kebiasaan selepas kejatuhan kerajaan.

“Kejatuhan sesebuah kerajaan lazimnya akan memberi kesan kepada individu yang dilantik memegang jawatan tertentu kerana ia bersifat lantikan politik.

“Dalam kes peletakan jawatan Latheefa misalnya, semua kes masih berjalan seperti biasa. SPRM juga masih dilihat sebagai agensi berintegriti dan telus serta mampu menjalankan tugasnya memerangi rasuah.

“Begitu juga pejabat Peguam Negara yang masih menjalankan fungsi-fungsinya seperti biasa," katanya.

Ternyata, episod peletakan jawatan melibatkan pegawai kanan agensi kerajaan sedikit sebanyak memberi kesan kepada landskap pentadbiran negara. Persoalannya dengan beberapa jawatan kerusi panas agensi-agensi kerajaan dibuat atas dasar lantikan politik siapakah yang menyusul selepas Tommy dan Latheefa.