Dua penunggang motosikal maut

JOHOR BAHRU – Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan yang dilaporkan berlaku di daerah Johor Bahru Selatan pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan pertama yang berlaku kira-kira jam 3 pagi dan kemalangan kedua pada jam 8.10 pagi.
Menurutnya, kemalangan pertama berlaku di Bulatan Jalan Daya 3, Taman Daya, melibatkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berusia 26 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal hingga terbabas dan melanggar pembahagi besi di tepi jalan.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
Tambah Raub, kemalangan kedua pula melibatkan seorang wanita berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario.
Katanya, kemalangan tersebut dilaporkan berlaku di Simpang Tiga Lampu Isyarat Jalan Bakar Batu/Jalan Pasir Pelangi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa terbabas dan jatuh selepas terlibat dalam satu perlanggaran dengan sebuah kenderaan yang belum dapat dipastikan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Tiada rakaman CCTV (kamera litar tertutup) atau saksi bebas di tempat kejadian.
“Justeru, polis kini sedang mengesan kenderaan yang terlibat melalui rakaman dashcam (kamera papan pemuka) sekitar kawasan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
