Lelaki hilang disambar buaya ketika memancing

Operasi SAR mangsa dilakukan sebaik pasukan bomba tiba di lokasi mangsa dilaporkan hilang disambar buaya di Sungai Tumanggong berhampiran ladang di Sukau.
Operasi SAR mangsa dilakukan sebaik pasukan bomba tiba di lokasi mangsa dilaporkan hilang disambar buaya di Sungai Tumanggong berhampiran ladang di Sukau.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang lelaki hilang selepas disambar buaya ketika memancing bersama empat rakannya di Sungai Tumanggong berhampiran sebuah ladang di Sukau, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, Mare Miri, 39, hilang dari pandangan rakan-rakannya selepas dipercayai dibawa oleh haiwan tersebut ke dasar sungai.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Yus Pg Pinsin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.14 tengah hari.

"Laporan diterima daripada Balai Polis Sukau yang menyatakan terdapat seorang mangsa lelaki dipercayai dibaham buaya ketika memancing.

"Ketika kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya memancing dan tiba-tiba seekor buaya telah membaham mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, susulan kejadian itu, seramai dua anggota dikejar ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Jarak lokasi sejauh 155 kilometer dan sebaik tiba, pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain melakukan perbincangan dan seterusnya membuat pencarian mangsa.

"Setakat ini, mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!