Rafizi bayang undur diri, masa depan PKR dan politik Madani jadi tanda tanya

Rafizi. Foto fail Bernama
Rafizi. Foto fail Bernama
A
A
A

KENYATAAN Datuk Seri Rafizi Ramli pada Jumaat bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan bayangan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik dan penyokong parti.

Walaupun belum membuat keputusan muktamad, mesej yang disampaikan bekas Menteri Ekonomi itu jelas membawa implikasi besar kepada masa depan PKR dan blok kerajaan Madani secara keseluruhan.

Sebagai Ahli Parlimen Pandan dan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi merupakan antara tokoh paling menonjol dalam parti sejak era Reformasi.

Beliau dikenali kerana pendekatan strategik, pemikiran dasar yang progresif dan peranannya dalam memenangi hati pengundi bandar, khususnya golongan muda serta profesional.

Dalam kenyataannya, Rafizi mengkritik 'budaya' dalam parti yang menurutnya terserlah semasa pemilihan parti pada Mei lalu.

Walaupun tidak diperincikan apakah budaya yang dimaksudkan, nada kenyataannya memberi gambaran wujud kekecewaan terhadap perjalanan politik dalaman PKR yang mungkin tidak lagi selari dengan prinsip perjuangannya.

Kritikan tersebut turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai tahap kesediaan PKR untuk melakukan pembaharuan dan penambahbaikan dalaman.

Jika seorang tokoh penting seperti Rafizi sendiri tidak yakin dengan keupayaan parti untuk menyingkirkan budaya tidak sihat, maka ia memberi bayangan bahawa masalah berkenaan berakar umbi dan sukar untuk diubah dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Secara strategik, tindakan beliau boleh memberi kesan kepada kekuatan jentera PKR menjelang PRU akan datang.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam merangka strategi komunikasi politik dan dasar. Tanpa kehadirannya, parti berdepan cabaran untuk mencari tokoh pengganti yang mampu mengisi jurang tersebut, khususnya dalam konteks kerusi Pandan yang sinonim dengan pengaruh Rafizi.

Sekiranya Rafizi benar-benar mengambil keputusan untuk tidak bertanding atau meninggalkan politik, persoalan besar timbul mengenai hala tuju beliau selepas ini.

Berdasarkan latar belakangnya dalam bidang teknologi dan analisis dasar, tidak mustahil beliau akan kembali aktif dalam sektor swasta, terlibat dalam bidang pemikiran dasar atau menubuhkan platform baharu untuk menyuarakan pandangannya terhadap isu-isu nasional.

Malah, ada juga kemungkinan beliau memilih untuk kekal sebagai suara bebas di luar sistem politik formal, seperti menerusi penulisan, forum awam atau penyertaan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apa pun bentuk peranannya selepas ini, Rafizi dijangka kekal menjadi tokoh yang berpengaruh dalam landskap wacana politik negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!