Lelaki gila talak bunuh isteri, tetak tangan adik ipar hingga putus

KOTA PRABUMULIH - Seorang lelaki gila talak nekad membunuh isterinya dan menetak tangan adik iparnya hingga putus.
Pelaku, Sandra Saputra, 28, melakukan pembunuhan kejam itu kerana cemburu selepas isterinya, Lidia Kristina, 22, yang sudah dijatuhkan talak mempunyai kekasih baharu.
Tragedi tragis itu berlaku di rumah mentuanya di Jalan Anggrek RT 01 RW 02 Kelurahan Anak Petai Kecamatan Prabumulih Utara Kota Prabumulih, Sumatera Selatan di Indonesia pada Khamis.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati pasangan itu pada mulanya terlibat pertengkaran sebelum Sandra naik angin tiba-tiba lalu mengambil sebilah parang di belakang pintu dapur.
"Dia kemudiannya melibas senjata tajam itu pada bahagian muka dan leher mangsa hingga hampir putus.
"Adik mangsa dikenali sebagai NR, 14, cuba membantu selepas terdengar jeritan kakaknya. Namun, Saputra yang seperti kerasukan menghayunkan parang ke arah adik iparnya, namun cuba ditepis mangsa hingga mengakibatkan tangan kirinya putus," menurut laporan media tempatan.
Setelah bertindak seperti orang hilang akal, dia melarikan diri ke rumah bapa saudaranya sebelum dinasihatkan supaya menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, kes perceraian Sandra dan Lidia masih belum diselesaikan di pejabat agama. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

