Komplot bunuh isteri demi kejar cinta terlarang dengan adik ipar

NEW DELHI - Ibarat babak filem Tamil atau Hindustan, seorang lelaki di Uttar Pradesh sanggup berkomplot dengan rakannya untuk membunuh isteri sendiri demi mengejar cinta terlarang dengan adik iparnya.
Suspek, Ankit Kumar, dipercayai merancang satu kemalangan yang mengorbankan isterinya, Kiran, 30, selepas gagal meyakinkan adik iparnya untuk berkahwin.
Ketua Polis Bijnor, Bharat Sonkar berkata, siasatan mendapati Ankit telah bersekongkol dengan rakannya, Sachin Kumar, untuk melanggar wanita itu dengan sebuah kereta.

Jelas beliau, Ankit membuat laporan polis pada 8 Mac lalu mendakwa isterinya maut dalam kemalangan jalan raya ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah mentuanya.
"Ankit mendakwa Kiran dilanggar lari ketika dia meninggalkan wanita itu di tepi jalan untuk mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak.
"Bagaimanapun, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian membongkar pembohongan Ankit apabila pemilik kereta yang melanggar Kiran dikenal pasti sebagai Sachin," katanya.
Bharat memberitahu, selepas ditahan, Ankit akhirnya mengaku merancang pembunuhan itu kerana mahu berkahwin dengan adik iparnya.
"Ankit sudah lima tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak. Dia pernah melamar adik iparnya, namun ditolak kerana telah berkahwin dengan kakaknya.
"Oleh itu, dia merancang pembunuhan tersebut," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!