Protes besar-besaran gegar Istanbul

ISTANBUL - Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Istanbul, Tukiye selama dua malam berturut-turut bagi membantah kartun diterbitkan majalah satira LeMan yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Empat kakitangan LeMan termasuk pelukis, pereka grafik, penerbit dan staf editorial ditahan reman pada Rabu susulan siasatan terhadap kartun yang dianggap menghina nilai agama.
Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc memaklumkan dua lagi individu berkaitan majalah itu masih diburu pihak berkuasa kerana dipercayai berada di luar negara.

Kartun berkenaan menimbulkan kemarahan selepas pendakwa raya Istanbul mengarahkan penahanan staf LeMan pada malam Isnin atas dakwaan menghina nilai keagamaan secara terbuka.
LeMan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan ketua pengarangnya, Tuncay Akgun menegaskan kartun berkenaan tidak menggambarkan Nabi Muhammad SAW sama sekali.
Kartun tersebut menunjukkan dua watak bersayap dan berjubah bertemu di langit selepas pengeboman dengan satu watak dikenali sebagai 'Muhammed' dan seorang lagi 'Musa'.
Menurut editor LeMan, watak tersebut mewakili penduduk Islam yang terbunuh akibat serangan udara di Gaza dan bukan merujuk kepada tokoh agama.
Penjelasan itu bagaimanapun tidak meredakan kemarahan kelompok Islamis tegar yang turun ke jalanan sekitar Dataran Taksim dan Jalan Istiklal sambil melaungkan slogan jihad dan syariah.

Penunjuk perasaan turut melaungkan “Jangan lupa Charlie Hebdo” merujuk serangan bersenjata ke atas majalah satira Perancis pada 2015 yang menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW.
Pada malam Isnin, kumpulan ekstremis cuba menyerbu sebuah bar yang dipercayai dikunjungi staf LeMan hingga mencetuskan pertempuran dengan pihak polis.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan kira-kira 400 penunjuk perasaan yang bertindak ganas.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan kartun berkenaan sebagai 'jenayah kebencian' dan menegaskan semua naskhah isu tersebut telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Peguam dan aktivis hak asasi mengecam cara penahanan dibuat termasuk penggunaan gari terbalik dan penyebaran rakaman penahanan yang memalukan.
Pelukis karikatur terbabit, Dogan Pehlevan menegaskan beliau tidak pernah berniat menghina agama sebaliknya hanya mahu menyampaikan mesej damai dan menolak tuduhan terhadapnya.

Beberapa badan antarabangsa termasuk Reporters Without Borders dan Cartoonists Rights menganggap penahanan itu sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara dan menuntut pembebasan segera. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
