Korea Utara ujian sebenar Malayan Tigress

PENGENDALI skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli menyifatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Tajikistan sebagai suntikan moral penting buat Malayan Tigress menjelang aksi getir menentang Korea Utara dalam saingan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Menurut Cornelli, kejayaan mengutip tiga mata penuh hasil jaringan lewat permainan oleh Henrietta Justine itu bukan sekadar memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kumpulan, malah meningkatkan keyakinan pemain terhadap kemampuan diri dan sistem permainan pasukan.
“Kemenangan ini sangat penting, bukan sahaja dari sudut pungutan mata, tetapi juga dalam membina keyakinan diri pemain dan semangat berpasukan.
“Ia juga mencerminkan usaha keras yang ditunjukkan oleh semua pemain dalam dua perlawanan pertama,” katanya selepas perlawanan di Stadium Republican Central, Dushanbe.
Dalam perlawanan itu, Henrietta muncul wira pasukan apabila menyempurnakan hantaran Intan Sarah Anisah Zulgafli pada minit ke-91 untuk kemenangan kedua berturut-turut buat Malaysia selepas menewaskan Palestin dengan jaringan sama sebelum ini.
Bagaimanapun, Cornelli mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa kerana aksi terakhir menentang Korea Utara bakal menjadi cabaran berbeza memandangkan lawan tersebut telah mempamerkan dominasi ketara dalam dua aksi terdahulu.
“Korea Utara sudah menjaringkan 20 gol dalam dua perlawanan. Jelas mereka berada pada tahap yang berbeza.
“Kami tidak akan menyerah kalah, namun perlu menyesuaikan pendekatan, terutamanya di bahagian pertahanan dengan lebih konsisten dan tersusun,” ujarnya.
Dengan kemenangan itu, Malaysia kini mengumpul enam mata selepas dua perlawanan, berkongsi kedudukan teratas bersama Korea Utara, namun berada di tangga kedua berdasarkan kelebihan jaringan memihak wakil Asia Timur itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
