Tegur pelajar sampaikan fakta salah, Zulkifli kongsi data sebenar

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

SHAH ALAM – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menegur tindakan segelintir pelajar yang menyampaikan fakta dan maklumat tidak tepat ketika melakukan demonstrasi mengkritik kerajaan Perpaduan.

Menurut Zulkifli, kritikan dan teguran yang membina berasaskan data serta fakta sahih adalah dialu-alukan kerana mampu memberi manfaat kepada kerajaan untuk tujuan penambahbaikan.

“Bagaimanapun, dalam video pelajar yang saya tonton, banyak fakta yang disebut adalah terang-terangan salah walaupun disampaikan dengan penuh semangat.

“Oleh itu, saya kongsikan data dan fakta yang direkodkan oleh agensi berkaitan, antaranya kadar inflasi 1.8 peratus, antara yang terbaik di dunia.

“Malah, inflasi makanan juga jauh lebih rendah berbanding zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN), manakala kadar pengangguran antara yang terendah iaitu 3.1 peratus.

“Kadar hutang dan defisit fiskal negara juga menunjukkan penurunan, selain indeks daya saing global meningkat ke tangga ke-23 dunia, naik 11 anak tangga daripada kedudukan ke-34,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau turut menyatakan bahawa nilai ringgit menunjukkan pengukuhan, manakala perdagangan, termasuk eksport dan lebihan dagangan, turut meningkat.

“Pada masa yang sama, harga RON95 kekal, manakala RON97 dan diesel di Semenanjung menurun.

“Malaysia turut mencatatkan antara negara yang menerima pelancong paling ramai di Asia Tenggara bagi suku pertama 2025, mengatasi Thailand dan beberapa negara lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, data yang dikemukakan hanyalah sebahagian daripada gambaran sebenar dan semestinya masih banyak ruang untuk ditambah baik.

“Semangat sahaja tidak cukup. Ia mesti disertai dengan ilmu, adab, budi pekerti, akhlak dan hikmah,” jelas beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!