Lelaki maut kereta terbabas langgar tiang

PASIR PUTEH - Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Cherang Ruku - Telaga Papan, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kereta mangsa dalam perjalanan dari Telaga Papan menghala ke Cherang Ruku.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 016-5072413.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

