MyKiosk: KPKT alu-alukan siasatan SPRM, kekal prinsip anti rasuah

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmennya terhadap integriti dan ketelusan apabila mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan inisiatif MyKiosk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, kementerian itu memaklumkan bahawa pihaknya telah secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei lalu.
Menurut KPKT, langkah itu diambil sebagai tindakan proaktif bagi memastikan inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus dan bebas daripada sebarang unsur penyelewengan.
Difahamkan, siasatan SPRM bermula susulan beberapa laporan dan aduan awam yang mendakwa wujud unsur penyelewengan dalam pelantikan kontraktor serta pembekalan unit MyKiosk di beberapa PBT.
Laporan tersebut turut menyentuh dakwaan bahawa kos pembinaan dan pemasangan unit berkenaan dikatakan melebihi nilai pasaran sebenar.

Sehubungan itu, SPRM telah memanggil beberapa individu termasuk pegawai PBT dan pembekal yang terlibat untuk memberi keterangan, di samping meneliti dokumen berkaitan bagi menilai sama ada berlaku pelanggaran prosedur perolehan atau unsur rasuah dalam pelaksanaan projek tersebut.
"MyKiosk merupakan antara inisiatif KPKT yang bertujuan memperkasakan ekonomi peniaga kecil, dengan kos siling setiap unit MyKiosk 2.0 ditetapkan sebanyak RM25,000," menurut kenyataan itu.
KPKT menambah, semua urusan perolehan dan pelantikan kontraktor telah dibuat oleh 133 PBT melalui proses sebut harga terbuka, melibatkan pelantikan sebanyak 795 kontraktor MyKiosk di seluruh negara.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Kami memperkukuh budaya integriti melalui pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau prestasi integriti serta membanteras amalan rasuah,” jelas kenyataan tersebut.
Inisiatif MyKiosk menjadi tumpuan selepas timbul beberapa dakwaan berkaitan proses pelaksanaannya oleh pelbagai pihak, termasuk beberapa pemimpin parti dalam kerajaan.
Bagaimanapun, Menteri KPKT, Nga Kor Ming sejak awal telah menegaskan pendirian untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM demi menjaga keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran yang bersih dan bertanggungjawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

