'Ingatkan 'outstation', rupanya dah meninggal dunia' - Jiran

SEREMBAN - "Ingatkan mereka sekeluarga outstation, tapi tak sangka tiga beranak itu telah meninggal dunia di rumah."
Demikian kata salah seorang jiran kepada tiga beranak yang mayatnya ditemui dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal pada Selasa lalu.
Jiran tersebut yang enggan dikenali berkata, kali terakhir keluarga berkenaan ditemui adalah sekitar empat hari lalu ketika mereka memberi makan kepada anjing peliharaannya.
“Jumaat ke Sabtu lepas sekitar jam 11 pagi adalah kali terakhir saya nampak mereka. Dia datang ke rumah saya untuk beri makan anjing.
“Selepas itu saya tidak nampak dia lagi. Saya tidak syak apa-apa kerana menyangka mereka tiada di rumah atau keluar ke mana-mana,” katanya kepada Sinar Harian.
Jiran berkenaan memaklumkan, keluarga itu telah menyewa rumah tersebut sejak kira-kira empat tahun lalu.
“Memang ada bau busuk, tapi kami dah biasa kerana pelihara anjing jadi tak terfikir ada kes kematian di dalam rumah berkenaan.
"Hanya tahu selepas jiran bersebelahan rumah mangsa membuat laporan polis selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan, barulah tahu mereka sudah meninggal dunia," katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan penemuan tiga mayat dalam keadaan mereput di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che memaklumkan identiti mayat dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri berumur 61 dan 59 tahun serta seorang anak lelaki berusia 30 tahun.
Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan torehan di bahagian lengan kanan pada mayat anak lelaki, manakala mayat ibu dan bapa tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.
Pemeriksaan forensik turut menemui empat bilah pisau yang mempunyai kesan darah serta pelbagai jenis ubat-ubatan yang telah digunakan, diletakkan di atas meja ruang tamu rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

