Buruh warga Indonesia dituduh edar dadah lebih 20 kilogram

Seorang buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu, atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine lebih 20 kilogram bulan lalu. - Gambar hiasan
Seorang buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu, atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine lebih 20 kilogram bulan lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine lebih 20 kilogram, bulan lalu.

Munzir Abdurrahman, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Normaizan Rahim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Munzir didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine anggaran berat 20,850 gram di parkir sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati di sini pada jam 12.38 tengah hari, 22 Jun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Kirthana sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 Oktober depan.

Pada 25 Jun lepas, media melaporkan lelaki terbabit ditahan di pusat beli-belah terbabit ketika sedang berjalan kaki sambil menjinjit satu beg kanvas.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg itu menjumpai bungkusan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi 20 paket plastik bertulisan dan dalam setiap bungkusan terdapat satu plastik lut sinar berisi syabu dengan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM80,000.

Pada 25 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditahan polis kerana memiliki dadah itu, ketika sedang berjalan kaki sambil menjinjit satu beg kanvas dengan tangan kanannya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!