Isteri bunuh suami dengan kejam sebelum buang mayat dalam perigi

KARTANAKA - Seorang wanita, bersama kekasihnya, didakwa membunuh suami dan membuang mayatnya di sebuah perigi sejauh hampir 30 kilometer (km) dari tempat kejadian bagi menutup jenayah tersebut.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada 24 Jun lalu di Kampung Kadashettihalli, mukim Tiptur di daerah Tumakuru.
Mangsa, Shankaramurthy yang berusia 50 tahun, dilaporkan tinggal sendirian di sebuah rumah ladang.
Isterinya, Sumangala, yang bekerja sebagai tukang masak di Kalpataru Girls' Hostel di Tiptur, didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Nagaraju, seorang penduduk kampung Karadalusante.
Menurut polis, pada hari kejadian, Sumangala didakwa melemparkan serbuk cili ke mata suaminya dan memukulnya dengan kayu.
Ujarnya, Sumangala juga menekankan kakinya ke leher suami bagi membunuhnya dengan kejam.
Kata polis, selepas pembunuhan tersebut, Sumangala dan kekasihnya memasukkan mayat berkenaan di dalam guni dan mengangkutnya hampir 30 km.
Mereka kemudian membuang mayat tersebut ke dalam sebuah perigi di sebuah ladang yang terletak di bawah bidang kuasa balai polis Dandanishivara di mukim Turuvekere.
Kes ini pada mulanya didaftarkan sebagai aduan orang hilang di Balai Polis Nonavinakere.
Namun, semasa operasi mencari, polis menemui kesan serbuk cili dan tanda-tanda pergelutan di atas katil mangsa yang menimbulkan syak.
Selepas soal siasat terhadap Sumangala, ditambah dengan analisis Rekod Butiran Panggilan telefon bimbitnya, polis merungkai plot pembunuhan tersebut.
Sumangala akhirnya mengaku melakukan jenayah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

