Inter Miami yakin Messi kekal di MLS

KELAB Liga Bolasepak Utama (MLS) Inter Miami meluahkan keyakinan tinggi untuk memperbaharui kontrak bintang utama mereka, Lionel Messi, yang bakal tamat pada Disember ini.
Penyerang berusia 38 tahun itu merupakan pemain 'marquee' (penarik utama) bagi Miami dan MLS secara keseluruhan, dan semua pihak kini telah memulakan rundingan kontrak untuk melanjutkan tempoh khidmatnya di Amerika Syarikat AS).
Malah, dalam kalangan pegawai kelab dan pengurusan MLS yakin bahawa bintang Argentina itu akan memperbaharui kontraknya.
Sumber dari pihak Messi juga menyatakan beliau sangat terbuka untuk melanjutkan tempohnya, biarpun terdapat laporan minat daripada kelab-kelab di Arab Saudi.
Salah satu faktor utama yang memotivasikan usaha untuk mengekalkan Messi di AS adalah untuk terus menarik perhatian kepada liga, terutamanya dengan Piala Dunia 2026 yang semakin hampir di seluruh Amerika Utara.
Walaupun belum disahkan secara rasmi, terdapat spekulasi bahawa Messi akan menamatkan karier antarabangsanya selepas Argentina mempertahankan gelaran juara dunia.
Messi kini memegang rekod penjaring gol sepanjang zaman dalam sejarah singkat Inter Miami dengan 50 gol, termasuk jaringan terbarunya untuk kelab itu hasil sepakan percuma menentang Porto dalam Piala Dunia Kelab.
Sebagai rekod, Miami tersingkir dari temasya 32 pasukan dunia tersebut setelah tewas 0-4 kepada juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG), depan 65,574 penonton di Atlanta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
