Aminuddin tidak terkesan cadangan tukar Menteri Besar Negeri Sembilan

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK) Nazree Yunus yang mencadangkan supaya kedudukan Menteri Besar negeri ini dinilai semula hanya kenyataan peribadi.

Aminuddin berkata, kenyataan seperti itu adalah biasa dalam politik dan beliau tidak terkesan sedikit pun terhadapnya.

“Dia (Nazree) pun tiada apa-apa jawatan dalam negeri. Saya nampak dia seorang saja yang desak, orang lain tiada pun... jadi biar sajalah. Apa-apa pun Negeri Sembilan kekal tenang.

“Saya tahu dia antara orang yang dalam usaha gerakan ‘pintu belakang’. Dia juga antara yang ada di Hotel Sheraton, Kuala Lumpur itu. Memang dah tahu dia itu siapa, jadi buat apa nak layan,”katanya pada sidang akhbar ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menaiktaraf Unit Sulh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan berkata, adalah menjadi hak masing-masing untuk tidak berpuas hati dengan kepimpinannya bagaimanapun beliau berkias, individu yang tidak lagi selesa berada di dalam PKR boleh mengundurkan diri.

“Saya serah kepada mereka. Itu hak mereka. Itu biasa dalam politik dan dari dulu lagi saya cakap, sesiapa mahu keluar (parti) dipersilakan keluar dan siapa yang mahu duduk bersama kita berjuang, teruskan.

“Ini perjuangan masing-masing. Jika mereka rasa selesa, duduk. Jika tidak selesa keluar,”katanya.

Menurutnya, beliau akan tetap melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan media semalam, Nazree mencadangkan supaya kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dirombak susulan berlakunya perubahan politik melanda negara.

Katanya, pilihan berada dalam tangan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional untuk menentukan kedudukan semasa Menteri Besar negeri berkenaan.

Antara lain Nazree mencadangkan, Muafakat politik perlu dimulakan dan beliau menyerahkan kebijaksanaan kepada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan untuk menentukan sekali gus memilih calon Menteri Besar baharu yang terbaik dalam kalangan yang layak.