Jangan sampai berbau baru ambil peduli

DALAM kesibukan kehidupan moden, kisah kematian yang hanya disedari selepas beberapa hari, malah ada sehingga mayat mereput menjadi peringatan betapa pentingnya sikap keprihatinan dalam kejiranan.
Ajal memang ketentuan Tuhan, namun kepedulian sesama manusia boleh menjadi penyelamat nyawa dan pengubat duka.
Tragedi terbaharu di Bukit Gambir, Pulau Pinang, melibatkan kematian seorang wanita bersama anak kecilnya di sebuah pangsapuri, cukup memilukan dan membuka mata semua.
Ia menimbulkan persoalan besar, masih wujudkah semangat kejiranan, orang sekeliling yang prihatin dan sejauh manakah fungsi pihak berwajib dalam masyarakat kita hari ini?
Kematian wanita dan anaknya yang berusia dua tahun itu hanya terbongkar selepas orang awam terhidu bau busuk.
Dia yang tidak bekerja merupakan ibu tunggal manakala bekas suaminya pula dipercayai sedang dalam tahanan pihak berkuasa.
Bukan sehari dua, kali terakhir anak-beranak itu dilihat ialah pada bulan Mei dan bau busuk yang dihidu sejak 21 Jun lalu rupanya adalah jasad yang sedang mereput!
Kes ini bukan yang pertama kerana baru-baru ini seorang guru juga ditemukan reput selepas sembilan bulan tidak hadir ke sekolah.
Tragedi yang sama sudah kerap berulang dan mungkin sudah tiba masanya untuk sama-sama menyemak semula keberadaan kita dalam masyarakat bagi mencegah.
Jika anda yang tidak mementingkan kejiranan, kini sudah tiba masanya untuk mula menjalin hubungan erat dengan orang sekeliling, walaupun hanya dengan sapaan ringkas.
Tidak bermaksud menjaga tepi kain namun amalan memerhati secara prihatin juga perlu. Misalnya, jika jiran tidak keluar rumah seperti biasa, lampu tidak dipadam atau surat tidak diambil dalam tempoh lama, pergilah bertanya khabar. Jangan menunggu hingga terhidu bau busuk untuk bertindak!
Paling mudah, sertai atau wujudkan kumpulan WhatsApp atau Telegram kejiranan sebagai saluran komunikasi cepat. Jika ada jiran sudah lama tidak aktif atau tidak memberi respons, ambil langkah menjenguk untuk bertanya khabar.
Sebagai anggota kejiranan, anda tahu ada dalam kalangan penduduk dalam kesusahan, panjangkan aduan kepada pihak berwajib.
Sudah tiba masa untuk anda melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Gotong-royong, aktiviti rewang mahupun berjemaah di masjid boleh membantu wujudkan rangkaian sosial yang membantu menjejaki seseorang jika tiba-tiba menghilang.
Bagi warga emas atau individu yang tinggal bersendirian, tetapkan rutin untuk berhubung dengan ahli keluarga, rakan atau jiran. Misalnya sekali sehari melalui panggilan telefon, mesej atau panggilan video.
Jika anda mempunyai ahli keluarga yang memang tinggal seorang diri atau warga emas, keraplah berhubung untuk memastikan mereka selamat di samping memasang kamera litar tertutup.
Tidak hanya individu dan keluarga, sokongan daripada pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh mengelakkan kematian menyedihkan ini.
Kawasan rukun tetangga (KRT) misalnya, boleh memperkukuhkan fungsi. Jawatankuasa kejiranan ini boleh mengambil langkah mewujudkan sistem pengesanan individu yang tinggal bersendirian.
Contohnya wujudkan senarai warga emas atau orang kurang upaya dalam komuniti dan lakukan lawatan berkala untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik.
Kematian tidak disedari selama berhari-hari bukan sahaja mencerminkan kelemahan hubungan sosial dalam masyarakat, malah ia adalah 'penggera' agar anggota masyarakat lebih cakna dan bertanggungjawab sesama jiran.
Sikap ambil peduli bukan sekadar adat lama tetapi suatu keperluan penting dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Marilah kita mulai dengan diri sendiri dan lingkungan terdekat memupuk semangat kejiranan yang prihatin. Satu sapaan, satu kunjungan atau pertanyaan ikhlas boleh membawa makna yang besar sekali gus menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa.
* Azma Mohd Lazim ialah wartawan SinarPlus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
