Lebih 50,000 penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan di Turkiye

Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan di Sakarya, Turkiye pada Isnin. Foto AFP
Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan di Sakarya, Turkiye pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Lebih 50,000 penduduk dipindahkan di tiga wilayah Turkiye akibat kebakaran hutan berskala besar, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya pada Isnin.

"Selepas kebakaran hutan di Izmir, Bilecik dan Hatay, lebih 50,000 rakyat kita telah dipindahkan sementara ke kawasan selamat,” kata Yerlikaya di platform X.

Beliau berkata, menurut anggaran awal, hampir 200 kediaman di Wilayah Bilecik dan Izmir mengalami kerosakan akibat kebakaran. Pihak Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) telah menyalurkan 30 juta lira Turkiye (kira-kira AS$750,000) kepada setiap kerajaan wilayah yang terjejas.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Perhutanan Ibrahim Yumakli memaklumkan lebih 260 kebakaran telah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tiga hari lepas, dengan dua kebakaran masih aktif di Izmir, satu di Manisa dan satu di Hatay.

Sebanyak empat pesawat, 14 helikopter dan lebih 1,000 anggota sedang dikerahkan untuk memadam kebakaran di Izmir.

Menteri Kehakiman Turkiye Yilmaz Tunc pada Ahad memaklumkan seramai 17 suspek telah ditahan berkaitan siasatan mengenai kebakaran terbabit.

Pihak berkuasa beberapa wilayah di Turkiye sebelum ini telah melarang aktiviti lawatan ke kawasan hutan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ancaman kebakaran hutan. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!