Trump jual minyak wangi lagi, kembali dengan Victory 45-47

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin giat berniaga apabila beliau kembali melancarkan minyak wangi baharu selepas beberapa produk keluarannya termasuk kasut sniker dan jam tangan mendapat sambutan ramai.
Trump mengumumkan pelancaran ‘Trump Fragrances’ untuk lelaki dan wanita yang dijual pada harga AS$249 (RM1,051).
“Produk baharu ini dinamakan Victory 45-47. Nostalgia ini melambangkan kemenangan, kekuatan dan kejayaan,” ujar bilionair hartanah itu menerusi platform Truth Social.
Bagaimanapun, beberapa pihak mengkritik tindakan Trump yang sempat mempromosikan produk jualannya ketika pelbagai krisis menghimpit AS dan konflik tercetus akibat campur tangan Washington.
Kumpulan pemerhati kerajaan turut menzahirkan kebimbangan sekiranya pemimpin yang digelar ‘gila glamor’ itu mengambil kesempatan peribadi atas jawatannya di Rumah Putih.
Pada Mei lalu, Setiausaha Akhbarnya, Caroline Levitt menepis dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Trump mematuhi semua undang-undang dan peraturan berkaitan konflik kepentingan.
Menurut data kewangan yang dikeluarkan pada bulan lalu, beliau memperoleh keuntungan kira-kira AS$2.5 juta (RM10.56 juta) daripada jualan kasut sniker dan minyak wangi pada 2023.
Pada 2024, Trump turut melancarkan produk minyak wangi Fight! Fight! Fight! yang dijual pada harga AS$199 (RM840).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

