Puteri Jepun tak kisah naik kelas ekonomi

TOKYO - Sebuah klip memaparkan sikap rendah diri anak Putera Mahkota Jepun Akishino telah menjadi tular di media sosial.
Puteri Kako tidak keberatan untuk menaiki penerbangan kelas ekonomi ketika kunjungan rasmi selama 11 hari ke Brazil.
Menurut laporan media tempatan, kerabat diraja berusia 30 tahun itu telah melawat empat lokasi berbeza pada hari sama sebelum terbang ke Brasilia sempena ulang tahun ke-130 memperingati hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Gelagat bersahaja Kako tanpa protokol yang ketat telah mengundang pelbagai reaksi warganet dan sebahagian besar memujinya.
"Beliau benar-benar kelihatan seperti patung porselin. Seperti orang lain, Kako juga perlukan ruang untuk berehat setelah keletihan kerana jadual yang begitu padat," ujar seorang pengguna media sosial.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kako lebih kerap muncul di khalayak umum setelah kakaknya, Puteri Mako meninggalkan tugas kerabat diraja pada 2021 selepas mengahwini rakan sekuliahnya dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).
Puteri jelita itu telah mengambil alih peranan termasuk melakukan lawatan ke luar negara malah rangkaian media tempatan menggelarnya sebagai 'harapan Jepun'. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

