PGA Sarawak catat rampasan RM5.5 juta dalam empat operasi banteras kegiatan haram

Kejayaan terbesar dicatatkan Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu dalam Op Libas pada 24 Jun selepas menyerbu sebuah kawasan pembalakan haram di daerah itu.
Kejayaan terbesar dicatatkan Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu dalam Op Libas pada 24 Jun selepas menyerbu sebuah kawasan pembalakan haram di daerah itu.
A
A
A

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM5.5 juta hasil operasi membanteras kegiatan haram di empat lokasi di negeri ini dari 23 hingga 28 Jun lepas.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kejayaan terbesar dicatatkan Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu dalam Op Libas pada 24 Jun selepas menyerbu sebuah kawasan pembalakan haram di daerah itu dengan tiga lelaki berusia antara 39 dan 57 tahun ditahan.

"Turut dirampas 350 batang kayu balak dan sebuah mesin pemotong kayu dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM3.5 juta,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dalam Op Taring Alpha di sini pada 23 Jun, Cawangan Risik PGA Sarawak menyerbu sebuah premis dan merampas 32,736 liter minuman keras pelbagai jenama yang tiada kelulusan cukai kastam, selain menahan lima lelaki warga tempatan berumur antara 26 hingga 36 tahun.

"Turut dirampas sebuah lori dan anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM1.46 juta mengikut harga pasaran,” katanya.

Che Ghazali berkata, menerusi serbuan Op Taring Bravo di sebuah premis di Miri pada 25 Jun, pihaknya merampas 39,300 liter minyak diesel yang disimpan tanpa permit, selain turut menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 45 tahun.

No Image Caption

Beliau berkata, sebuah tangki penyimpanan minyak diesel dan sebuah lori dirampas dalam operasi itu yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM486,065.

Artikel Berkaitan:

"Dalam Op Taring Awas di Lundu pada 28 Jun, sepasukan anggota Batalion 11 PGA Kuching menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 23 hingga 36 tahun dan merampas satu peket lutsinar disyaki berisi dadah jenis methamphetamine seberat 0.32 gram selepas memeriksa sebuah kenderaan dengan keseluruhan rampasan bernilai RM50,100,” katanya.

Beliau berkata, jumlah rampasan yang dicatatkan sepanjang operasi dari 1 Januari hingga hari ini mencecah RM290.3 juta membabitkan 236 kes manakala jumlah tangkapan melibatkan 355 individu, terdiri daripada 264 warga tempatan dan 91 warga asing. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!