Maut terbabas langgar tiang

KOTA BHARU - Seorang warga asing maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Kilometer (KM) 4, Jalan Bechah Laut-Gual Ipoh pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Mohamed Ayas Nur Mohamed, 22, dikatakan menunggang motosikal dari arah Gual Ipoh menghala ke Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke bahu kiri jalan.
"Mangsa yang juga pemegang kad UNHCR terjatuh dari motosikal dan melanggar tiang di bahu jalan itu," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau, akibat pelanggaran mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Katanya lagi, punca kemalangan dipercayai daripada mangsa yang hilang kawalan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
