Tujuh sekeluarga nyaris maut, MPV langgar tiang elektrik

GEORGE TOWN - Tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini pada Ahad.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan pada jam 1.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta jenis MPV telah terbabas di bahu jalan dan melanggar tiang elektrik.

"Terdapat tiga orang mangsa dewasa tersepit dan cedera termasuk seorang wanita berusia 40-an patah kaki.
"Empat orang kanak-kanak terdiri seorang lelaki dan tiga perempuan pula mengalami cedera ringan pada pinggang dan tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Jurucakap berkenaan berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dilakukan pasukan penyelamat dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 2.54 pagi.

Katanya, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menerima rawatan lanjut.
Terdahulu tular di laman sosial beberapa gambar operasi menyelamatkan mangsa kemalangan yang mengundang rasa simpati orang ramai.
Difahamkan kesemua mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
