64 peratus syarikat kenderaan perdagangan gagal patuhi peraturan mandatori – JPJ

Aedy Fadly (dua dari kiri) memakaikan Pingat Perkhidmatan Bakti Setia JPJ kepada pegawai terpilih sempena Perhimpunan Setia Khas JPJ Malaysia pada Ahad.
Aedy Fadly (dua dari kiri) memakaikan Pingat Perkhidmatan Bakti Setia JPJ kepada pegawai terpilih sempena Perhimpunan Setia Khas JPJ Malaysia pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sebanyak 64 peratus daripada 133 syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit gagal mematuhi peraturan mandatori di bawah Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu dilaporkan dalam tempoh empat hari pertama pelaksanaan audit berkenaan.

Beliau memaklumkan, JPJ menyasarkan untuk mengaudit sebanyak 500 syarikat pengendali kenderaan perdagangan dalam tempoh sebulan menerusi Ops Khas JISA yang bermula pada 23 Jun lalu.

“Dalam tempoh empat hari pertama, kita telah mengaudit 133 syarikat. Daripada jumlah itu, 85 syarikat didapati gagal audit manakala hanya 48 syarikat yang lulus.

“Perkara mandatori yang gagal dipatuhi oleh syarikat termasuk tidak melantik pegawai atau penyelaras pekerjaan, tidak memasang GPS pada semua kenderaan, tiada pemantauan GPS, kegagalan merekodkan syarat pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari, tidak menyediakan pelan keselamatan dan tidak mempamerkan nombor hotline serta nombor telefon pegawai syarikat untuk tujuan aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia Khas JPJ Malaysia di sini pada Ahad.

Menurut Aedy Fadly, JPJ akan mengemukakan senarai syarikat yang gagal mematuhi peraturan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta mencadangkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen syarikat terbabit.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melanggar peraturan serta mengabaikan aspek keselamatan.

“Ini janji kami kepada orang awam yang gusar dengan keselamatan jalan raya,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Bakti Setia JPJ kepada sepuluh pegawai terpilih dari seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!