Pemandu diserang sakit jantung, kereta rempuh dua kenderaan parkir

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut dipercayai akibat serangan jantung sebelum kereta Proton Saga yang dipandunya merempuh dua kenderaan yang diparkir di Jalan Teratai, Felda Bukit Aping Barat pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam kira-kira jam 10.25 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan lalu melanggar dua kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah rumah iaitu sebuah Proton Wira dan sebuah van Toyota Hiace.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Proton Saga berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan lebih berwaspada semasa memandu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

