Iran buka semula ruang udara tengah, barat untuk penerbangan transit antarabangsa

TEHERAN - Iran pada Sabtu membuka semula ruang udaranya di kawasan tengah dan barat untuk penerbangan transit antarabangsa.
Jurucakap Kementerian Jalan dan Pembangunan Bandar, Majid Akhavan dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Penerbangan Awam (CAO) Iran serta selesai penilaian keselamatan dan sekuriti oleh pihak berkuasa berkaitan.
Beliau menambah bahawa sebelum ini Iran telah membuka semula ruang udara timurnya untuk penerbangan domestik, antarabangsa, dan transit.
Beliau turut menegaskan tiada penerbangan akan mendarat atau berlepas dari lapangan terbang Iran di bahagian utara, selatan dan barat.
Dalam satu kenyataan berasingan, CAO memaklumkan ruang udara Iran di bahagian utara, selatan, dan barat akan kekal ditutup sehingga 2 petang waktu tempatan (1030 GMT) pada Ahad.
Iran menutup ruang udaranya pada 13 Jun susulan serangan udara Israel ke atas Tehran dan kawasan lain.
Setelah konflik udara selama 12 hari, kedua-dua pihak mencapai persetujuan gencatan senjata pada Selasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
