Iran adakan upacara pengebumian mangsa perang

TEHERAN - Iran akan mengadakan upacara pengebumian yang digambarkan bersejarah pada Sabtu di Tehran bagi menghormati 60 individu yang terkorban dalam konflik berdarah selama 12 hari dengan Israel, termasuk pegawai tertinggi tentera dan saintis nuklear negara itu.
Upacara peringatan akan bermula pada jam 8 pagi waktu tempatan di Dataran Enghelab (Revolusi) di pusat bandar Tehran, sebelum perarakan pengebumian diteruskan ke Dataran Azadi (Kebebasan), yang terletak kira-kira 11 kilometer dari lokasi awal.
Ketua Majlis Penyelarasan Pembangunan Islam Tehran, Mohsen Mahmoudi berkata, upacara ringkas akan diadakan di situ, kemudian perarakan para syahid akan menuju ke Dataran Azadi.
“Esok akan menjadi hari bersejarah bagi Iran, Islam dan revolusi,”katanya menerusi wawancara televisyen pada Jumaat.
Antara yang terkorban ialah Mejar Jeneral dalam Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Mohammad Bagheri dan pegawai kedua tertinggi dalam angkatan bersenjata selepas Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau akan dikebumikan bersama isterinya dan anak perempuan mereka, seorang wartawan tempatan, yang turut terkorban dalam serangan Israel.
Turut terbunuh ialah saintis nuklear, Mohammad Mehdi Tehranchi, yang akan dikebumikan bersama isterinya.
Empat wanita dan empat kanak-kanak turut disenaraikan sebagai antara mangsa yang akan dihormati dalam upacara pengebumian berkenaan.
Perang meletus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan siri serangan.
Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 30 komander tertinggi Pengawal Revolusi Iran terkorban dalam serangan itu, termasuk Ketua Komander Hossein Salami dan Ketua Pasukan Aeroangkasa, Amirali Hajizadeh, yang mengetuai program peluru berpandu balistik Iran. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

