Pembela gesa perkemas undang-undang, dasar syariah

Shuhaib
Shuhaib
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa supaya memperkemas dasar dan undang-undang syariah secara menyeluruh.

Timbalan Pengerusi Pembela, Shuhaib Ar Rumy Selamat berkata, sebarang kelemahan atau kelompongan dalam peruntukan sedia ada perlu diteliti dan diperbaiki segera.

Menurutnya, ia bagi memastikan kekukuhan institusi kehakiman syariah sentiasa terpelihara dan dihormati.

"Pengukuhan aspek penguatkuasaan, prosedur kehakiman dan kecekapan sistem juga perlu dipertingkatkan.

"Dalam masa sama, kami ingin mengajak semua umat Islam dan para pemimpin negara agar bersatu hati dalam mempertahankan kedaulatan Islam serta memperkukuh sistem kehakiman syariah sebagai sebahagian daripada struktur perlembagaan negara," katanya dalam satu kenyatan pada Sabtu.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan pada Khamis menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mencabar perintah berkaitan notis tunjuk sebab kerana menghina Mahkamah Syariah.

Tambah Shuhaib Ar Rumy, keputusan itu memperkukuhkan lagi kedudukan mahkamah syariah dan menjelaskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, mahkamah syariah mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati dalam sistem perundangan negara.

Artikel Berkaitan:

"Prinsip bidang kuasa yang setara (coordinate jurisdiction) antara mahkamah syariah dan sivil telah diperakui secara jelas oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes ini serta kes-kes penting lain.

"Maka, adalah penting bagi semua pihak memahami dan mengiktiraf peranan mahkamah syariah sebagai institusi yang sah dan berautoriti dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Dalam pada itu, Pembela turut menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na im Mokhtar dan berharap agar beliau memimpin inisiatif menyeluruh bagi memperkasa ekosistem pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan dan Wilayah Persekutuan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!