AGC fail notis rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi kenyataan media, AGC memaklumkan bahawa proses tersebut telah dilaksanakan pada Khamis.
“Jabatan ini telah memfailkan notis rayuan pada hari ini bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
AGC menegaskan bahawa proses rayuan ini merupakan sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.
Ia adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada Rabu melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.
Pertuduhan itu melibatkan satu kes subahat pecah amanah membabitkan dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing berjumlah RM50,000.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan bersidang bersama Datuk Azman Abdullah serta Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah mensabitkan tertuduh atas keempat-empat pertuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda berjumlah RM10 juta.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

