Syed Saddiq bebas: Mahkamah jamin keputusan tidak dipengaruhi netizen

Syed Saddiq bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman bagi empat kes penyelewengan dana Armada. Foto Bernama
Syed Saddiq bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman bagi empat kes penyelewengan dana Armada. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu memberi jaminan keputusan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman bagi empat kes penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak dipengaruhi pandangan netizen.

Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, keputusan dibuat berdasarkan rekod mahkamah semata-mata.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berkata, panel juga tidak pernah mempertimbang pandangan yang beredar di media sosial.

“Kenyataan `nakal' seperti ini tidak perlu dibangkitkan bagi mengelak fitnah dalam kalangan pihak yang tidak mengetahui prosedur mahkamah yang membuat keputusan,” katanya.

Hakim, Ahmad Zaidi mengulas demikian selepas pihak pendakwaan membangkitkan isu semasa hujahan supaya mahkamah tidak terbawa-bawa dengan pandangan masyarakat luar.

Pada Rabu, Syed Saddiq bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan di sini melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman atas kes itu.

Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta (RM120,000) dan dua pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing (RM50,000).

Panel tiga memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan ini untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan bahawa hujahan rayuan permohonan bagi kedua-dua pihak akan dijalankan selama dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Mac.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas dua hari hujahan mahkamah menangguhkan prosiding kepada 17 April selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!