Pelajar Tingkatan Lima maut motosikal tidak sempat elak lori

PASIR PUTEH - Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori dan terjatuh di laluan bertentangan di kilometer 30, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran simpang tiga Banir Belikong di sini pada Rabu.
Mangsa, Nik Ikram Hakimi Nik Mohd Nuzaihan, 17, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pada jam kira-kira 3.15 petang, Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh telah menerima panggilan daripada bilik gerakan memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan lori.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pelajar terbabit dalam perjalanan dari arah Selising menghala ke Pasir Puteh.
"Siasatan awal mendapati, apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba datang sebuah lori dipandu oleh pemandu berusia 38 tahun dari arah Pasir Puteh hendak masuk ke simpang Banir Belikong," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, remaja lelaki terbabit dipercayai tidak sempat mengelak motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang lori dan terjatuh di laluan bertentangan.
Ujarnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zaizul Rizal memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih sedang dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan terbabit diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi talian 013-6706156," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

