'Ada hikmah di sebalik yang berlaku' - Fattah Amin

LUMRAH hidup, apabila sesebuah ikatan perhubungan tidak kesampaian, ada yang terus tenggelam dalam duka.
Namun tidak kurang juga yang enggan terus larut dalam kesedihan, sebaliknya bangkit seolah-olah tiada apa berlaku dalam hidup.
Demikian juga dengan pelakon terkenal, Fattah Amin. Baharu sahaja melalui fasa penceraian dengan selebriti popular, Fazura, pelakon Lembing Awang Pulang Ke Dayang itu dilabel oleh segelintir pihak sebagai cepat ‘move on’.
Bagi tuan punya badan, hidup tidak semudah itu untuk dinilai dari luaran semata-mata. Setiap individu, kata Fattah, mempunyai kisah tersendiri.

“Pada saya, semua terpulang kepada individu dan takdir ALLAH. Saya melalui fasa (penceraian) dan anggap ada hikmah di sebalik yang berlaku.
“Jadi sama ada saya cepat ‘move on’ atau lambat, semuanya saya serahkan kepada ALLAH. Itu sahaja,” tuturnya ringkas namun penuh makna.
Untuk rekod, Fattah sah bercerai talak satu dengan Fazura pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
Dalam pada itu, dia tidak menafikan ada lelaki yang lebih mudah melupakan kisah silam berbanding wanita, namun semuanya bergantung kepada pengalaman hidup masing-masing.
“Setiap individu ada cara tersendiri untuk meneruskan hidup selepas melalui episod perpisahan.
“Malah, setiap orang melalui fasa yang berbeza-beza dalam hidup mereka. Jadi, kena tanya kepada individu berkenaan apa yang membuatkan dirinya cepat ‘move on’.
“Mungkin juga boleh lihat apa yang terjadi kepada dirinya sehingga berbuat demikian (move on),” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, pasti seseorang individu itu mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka cepat melupakan.
“Kalau lambat pun, itu pilihan masing-masing. Sama juga macam jodoh, ada yang cepat tiba dan ada yang lambat,” kata Fattah ketika ditemui dalam majlis pelantikannya sebagai duta produk minuman tenaga Orang Kampung (OK) di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

