JKM cari waris bayi ditinggal di taska

MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Semabok di sini pada Mac lalu.
JKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska tersebut, bayi yang dipercayai berusia tiga atau empat bulan ketika itu telah dihantar ke taska berkenaan oleh pasangan lelaki dan wanita pada 17 Mac lalu.
Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini, individu yang dianggarkan dalam lingkungan usia 40-an dan memakai baju berwarna biru dan merah ketika hadir ke taska itu pada hari kejadian masih belum datang mengambil bayi terbabit, yang kini dikenali dengan panggilan Arisa.
“Bayi perempuan itu dihantar ke taska tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan waris tidak mengambilnya bermula 19 Mac lalu.
“Setakat ini, bayi berkenaan diletakkan di bawah jagaan JKM dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Sehubungan itu, JKM Melaka menyeru ibu kandung atau mana-mana waris agar segera tampil membantu proses kebajikan bayi berkenaan dengan menghubungi Pelindung Kanak-kanak atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah di talian 06-3333333.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

