X

Kindly register in order to view this article
!

Wawancara eksklusif Sinar Harian bersama ikon negarawan Dr Mahathir. - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A

TANGGAL 1 Mac 2020, negara menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila tampuk pimpinan utama Malaysia bertukar tangan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum itu, selama seminggu Tun Dr Mahathir Mohamad diberi kesempatan sebagai Perdana Menteri Interim dan sepanjang tempoh itu pelbagai spekulasi timbul mengenai calon atau pengganti kepada jawatan tersebut.

Apabila Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan, timbul desas-desus mengatakan hubungannya dengan Dr Mahathir sedikit dingin susulan dakwaan dirinya adalah pengkhianat yang memulakan tindakan kerajaan ‘pintu belakang’.

Sinar Harian berkesempatan mengadakan pertemuan dan wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara.

Ikuti transkrip penuh wawancara bersama Dr Mahathir. Wawancara ini ialah interviu pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

SINAR HARIAN: Selepas 43 tahun, Pas kini kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dengan jawatan sebagai menteri dan timbalan. Apakah penilaian Tun terhadap Pas?

DR MAHATHIR: Saya berpendapat bahawa penggunaan Islam sebagai alat politik adalah satu perkara tidak baik yang akan memecahbelahkan orang Islam.

Itu sebabnya saya tidak bersetuju dengan Pas, walaupun mereka sokong saya tetapi saya tidak berpuas hati kerana sehingga sekarang ini mereka tidak gugurkan pendapat bahawa orang bukan Pas tidak Islam. Inilah kekecewaan saya dengan kepimpinan Pas.

Selepas itu pula, ada masa mereka sokong termasuklah sokongan yang terbaharu (sebagai Perdana Menteri) sebelum ini. Mereka jumpa dan menghadap (Yang di-Pertuan Agong) dengan saya, beritahu kepada saya bahawa mereka sokong tetapi selepas itu mereka sokong parti dan orang lain.

Jadi apa maknanya dengan apa yang mereka cakap dan apa yang mereka buat. Ini amat mengecewakan. Mereka sendiri tidak berpegang dengan ajaran agama Islam. Apabila kita membuat janji maka kita perlu tunaikan janji.

Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - FOTO ASRIL ASWANDI

Apabila Pas menyokong Tun yang ketika itu tidak mahu bersama DAP, sokongan itu ditarik kerana Tun bersama Pakatan Harapan (PH) yang ada DAP. Apakah komen Tun?

Ya dia (Pas) sokong saya sewaktu saya berada dalam PH dengan DAP dan mereka memberi sokongan penuh kepada saya tetapi mereka kata mereka tak sokong DAP.

Jadi saya nak buat macam mana, saya keluar jatuh DAP, jatuh PH. Saya nak bersama dengan Pas (pula), Pas bersama dengan UMNO dan bersama dengan orang yang menghadapi tuduhan (di mahkamah). Saya berada dalam keadaan serba salah dan saya minta supaya tunggu dahulu untuk lihat keadaan kembali tenang dan saya janji nak letak jawatan.

Saya akan letak jawatan. Jadi saya berpendapat bahawa kita main politik terlalu banyak tetapi kita tak utamakan perjuangan untuk negara, bangsa dan agama. Sebaliknya kita peralatkan Malay Muslim Government. Itu yang kita peralatkan.

Walaupun dilihat sekarang ini ada majoriti kerajaan Melayu tetapi kalau kita ada pilihan raya, saya ingat kita tak boleh menang.

Sedikit mengenai parti DAP. Apa yang rakyat tidak suka adalah kerana kes-kes seperti LTTE, tulisan jawi, ICERD dan Statut Rom yang menjadikan mereka marah kepada kerajaan PH sebelum ini?

Ini dipanggil perang politik untuk mengalahkan PH supaya orang Melayu semua tolak PH. Benda yang tidak ada isu tetapi dijadikan isu, tetapi perkara yang mereka ikut tidak pula kita sebut.

Nampaknya pandangan Tun terhadap DAP begitu positif sekarang berbanding tahun 1980-an dan1990-an. Mengapa persepsi itu boleh berubah?

Bukan persepsi saya berubah tetapi mereka yang berubah. Dulu DAP adalah Cina tetapi sekarang dalam DAP pun ada Melayu seperti wakil DAP Melaka ialah Melayu. Mereka juga harus sedar bahawa tanpa Melayu, mereka tidak boleh menang. Jadi dia sudah tone down permintaan mereka.

Malah, apabila kita kata tidak mahu menerima Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) walaupun DAP mendesak, akhirnya mereka akur. Banyak lagi dasar-dasar DAP dulu yang sudah diketepikan, jadi itu bukan persepsi saya sahaja.

Apabila kita dekat dengan orang, baru kita tahu apa sebenarnya pendirian mereka dan saya dapati ramai daripada DAP sedar bahawa tanpa sokongan Melayu mereka tidak boleh berjaya. Sebab itu mereka bekerjasama dengan Bersatu, begitu juga dengan PKR.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!