Karnival KPDN 2025 bakal gegar Puteri Harbour

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal menganjurkan Karnival KPDN 2025 Zon Selatan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun ini di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

Karnival tahunan anjuran KPDN itu dijangka bakal menarik ribuan pengunjung, bukan sahaja dari Johor, malah juga dari negeri-negeri berdekatan seperti Melaka dan Negeri Sembilan, menerusi pelbagai aktiviti dan program berteraskan kesejahteraan rakyat serta pemerkasaan ekonomi tempatan.

Antara aktiviti utama yang bakal berlangsung sepanjang karnival termasuk Jualan RAHMAH MADANI, Menu RAHMAH, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), Pameran Penguatkuasaan, serta reruai melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan usahawan tempatan.

Karnival ini turut memberikan fokus kepada Inisiatif Kos Sara Hidup yang memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan bantuan dan usaha kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.

Pelbagai tarikan hiburan dan ilmiah

Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan daripada selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Hattan, Wany Hasrita dan Irfan Haris, di samping sesi ilmu bersama tokoh ilmuwan tersohor seperti Prof. Dr. Badlishah, Dr. Mohd Azman dan Ustaz Mohd Khairul Fahmi.

Bagi golongan belia pula, pertandingan Eksplorasi Mini, Band Showdown dan E-Sport Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bakal menjadi pentas untuk mereka menonjolkan bakat dan bersaing secara sihat.

Kanak-kanak juga tidak ketinggalan apabila sesi Meet & Greet bersama watak animasi popular seperti Omar & Hana serta Didi & Friends turut dimuatkan dalam program, sekaligus menjadikan karnival ini mesra keluarga secara menyeluruh.

Peluang pekerjaan dan hadiah lumayan menanti

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha menangani isu pengangguran, KPDN dengan kerjasama PERKESO turut membawakan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dengan lebih 15 majikan yang menawarkan pelbagai kekosongan jawatan, terbuka kepada pencari kerja daripada pelbagai latar belakang dan kelayakan.

Sebagai tarikan utama, cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah Perodua Alza (1.5L H), motosikal Modenas Kriss 110 akan diadakan, hasil tajaan rakan strategik iaitu Perodua dan Modenas.

Kemudahan lengkap dan kemasukan percuma

KPDN turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma serta kemudahan parkir yang luas bagi memastikan keselesaan pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

Kemasukan adalah percuma dan orang ramai disarankan hadir bersama keluarga bagi menikmati pelbagai pengisian bermanfaat, di samping menyokong produk tempatan serta inisiatif kerajaan dalam memperkasakan rakyat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi media sosial Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di https://www.kpdn.gov.my/ms/

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!