Guru bola jaring disyaki pukul murid direman tiga hari

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang guru yang disyaki memukul kanak-kanak lima tahun ketika latihan bola jaring direman selama tiga hari hingga 24 Jun bagi membantu siasatan.

Permohonan reman ke atas wanita berusia 24 tahun itu dibuat di Kompleks Mahkamah Sungai Petani dan selesai kira-kira jam 10 pagi Ahad.

Bagaimanapun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah berikutan cuti umum bersempena Hari Keputeraan Sultan Kedah yang disambut pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa polis menerima dua laporan membabitkan seorang guru yang disyaki memukul kanak-kanak prasekolah semasa latihan bola jaring pada Khamis.

Kenderaan polis memasuki pekarangan mahkamah bagi melaksanakan proses reman terhadap tertuduh pada Ahad.
Kenderaan polis memasuki pekarangan mahkamah bagi melaksanakan proses reman terhadap tertuduh pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian dari waris mangsa, namun satu daripadanya telah ditarik balik oleh keluarga.

Menurutnya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai satu rakaman video selama 24 saat memaparkan seorang wanita dipercayai guru terbabit, menangis dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa.

Difahamkan, dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki kemungkinan dirotan ketika menjalani latihan sukan di tempat mereka belajar di Kota Kuala Muda, di sini.

Latihan itu dipercayai dibuat sebagai persediaan menyertai kejohanan peringkat daerah minggu depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!